Ebola virus in Congo: Health Ministry steps up preparedness [ 3h ago ]

Tiga kilang haram di Pasir Gudang diserbu

Tarikh kemaskini: 12/07/2019
Wan Abdul Latiff Wan Jaffar (Gambar fail)
JOHOR BAHRU, 12 Julai (Bernama) -- Tiga kilang dipercayai beroperasi secara haram di Pasir Gudang diserbu dan dikenakan pelbagai tindakan oleh pihak penguat kuasa dalam satu operasi pemeriksaan bersepadu berterusan, susulan insiden sesak nafas dan muntah-muntah di kawasan itu sejak 20 Jun lepas.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor Wan Abdul Latiff Wan Jaafar berkata hasil operasi bersepadu pelbagai agensi semalam, pihaknya menahan operasi, kelengkapan serta peralatan terhadap satu kilang manakala pihak Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) bertindak menyita ketiga-tiga kilang terbabit.

“Sebuah kilang dipercayai mengitar semula bahan terpakai seperti plastik, minyak terpakai. Sebuah kilang lagi berasaskan logam dan sebuah lagi kilang disyaki membuat pengasingan sisa pepejal,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Turut turun padang dalam operasi bersepadu itu ialah Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri Tan Cheng Choon.

Sehingga 5 petang semalam, sebanyak 248 kilang telah diperiksa menerusi operasi bersepadu berterusan yang disertai pelbagai agensi kerajaan termasuk JAS dan MPPG.

Wan Abdul Latiff berkata sebanyak 125 kompaun melibatkan buangan terjadual dikeluarkan, 10 kompaun untuk efluen perindustrian manakala satu kompaun untuk loji kumbahan.

“Selain itu, 59 notis arahan turut dikeluarkan, 11 perintah tahan operasi kelengkapan dan tiga bakal berdepan dengan syor tindakan mahkamah,” katanya.

Meskipun sasaran awal pemeriksaan sebanyak 250 kilang hampir selesai, pihaknya akan meneruskan seberapa banyak pemeriksaan secara berterusan.

“Kita akan teruskan seberapa banyak (pemeriksaan terhadap kilang-kilang lain) yang boleh. Saya nak buat lebih daripada itu (lebih 250 kilang),” katanya.

Menerusi entri yang dimuat naik di Facebook JAS semalam, fokus operasi pemeriksaan bersepadu pada Khamis menumpukan kepada kilang-kilang haram yang tiada lesen perniagaan.

Antara tindakan yang diambil selain arahan berhenti operasi ialah pemotongan bekalan elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).

-- BERNAMA






BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu