Ebola virus in Congo: Health Ministry steps up preparedness [ 3h ago ]

JPJ pulau Pinang guna strategi baharu buru lori lebih muatan

Tarikh kemaskini: 12/07/2019
Mohamat Johari Mat Nor (Gambar fail)
BUTTERWORTH, 12 Julai (Bernama) -- Strategi penguatkuasaan baharu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang membawa hasil apabila 398 kenderaan termasuk lori tipper dumper berjaya dikesan melakukan pelbagai kesalahan dalam Ops Lebih Muatan di negeri ini bermula 21 Jun sehingga semalam.

Pengarah JPJ negeri, Mohamat Johari Mat Nor berkata strategi yang melibatkan unit risikannya itu ternyata lebih berkesan dalam membendung lori membawa lebih muatan berbanding strategi sebelum ini yang sering diganggu oleh tonto yang bertapak di pejabat-pejabat JPJ.

"Operasi kami sering terganggu oleh tonto yang bertapak di pejabat-pejabat JPJ tidak kira siang atau malam, jadi JPJ Pulau Pinang mengambil beberapa pendekatan baharu iaitu menggunakan unit risikan untuk membuat pemantauan awal sebelum memaklumkan kepada penguat kuasa bagi mengambil tindakan.

"Sekarang anggota (unit risikan) kami tidak mereka (tonto) kenali untuk memantau pergerakan lori membawa lebih muatan supaya penguatkuasaan dapat dijalankan," katanya kepada pemberita selepas Ops Lebih Muatan, di sini malam tadi.

Katanya menerusi operasi itu, JPJ Pulau Pinang mengambil pendekatan mengadakan rondaan penguatkuasaan di lebuh raya dan jalan utama untuk mengesan lori membawa lebih muatan.

Mohamat Johari berkata sepanjang operasi itu, JPJ telah memeriksa 678 kenderaan perdagangan yang membawa muatan berat dan mengeluarkan 791 saman terhadap pemandu lori yang melakukan pelbagai kesalahan menurut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya saman dikeluarkan berikutan kesalahan membabitkan lebih muatan (271), kesalahan muatan bahaya (35), tiada lesen memandu (110), lesen memandu tamat tempoh (12), kesalahan teknikal (359) dan kesalahan utama (empat).

"Operasi kali ini memberi tumpuan kepada lori tipper dumper yang menyalahgunakan kelulusan tambah dinding bagi tujuan membawa barang pertanian," katanya sambil menambah tindakan pemandu lori yang tidak mematuhi undang-undang itu hanya mendatangkan kerosakan kepada struktur jalan raya serta risiko kepada pengguna jalan raya.

Sementara itu, katanya JPJ menerima alat timbang mudah alih yang lebih ringan dan mudah dibawa ke lokasi bagi memudahkan penguatkuasaan dijalankan terhadap pemilik kenderaan perdagangan terutama lori yang membawa lebih muatan.

Beliau berkata peralatan baharu dari Jepun itu diterima awal tahun ini dan sangat membantu penguat kuasa JPJ negeri untuk menimbang lori.

-- BERNAMA






BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu