E-Mutiara tambah 26 bas baharu bernilai RM26 juta [ 52m ago ]

524,100 penduduk berhijrah pada 2018

Tarikh kemaskini: 11/07/2019
PUTRAJAYA, 11 Julai (Bernama) -- Seramai 524,100 penduduk berhijrah pada 2018, demikian menurut Laporan Survei Migrasi Malaysia 2018.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin yang mengulas laporan itu berkata sebab utama migrasi pada 2018 adalah mengikut keluarga iaitu 44.2 peratus, kerjaya (24.3 peratus) dan berpindah rumah atau mencari persekitaran baharu (22.4 peratus).

Menurutnya, bilangan penduduk yang berhijrah pada 2018 menurun 112,900 orang berbanding 637,000 orang pada 2016.

Survei migrasi Malaysia itu dijalankan dua tahun sekali bagi membekalkan statistik utama migrasi mengikut ciri-ciri demografi dan sosioekonomi.

Mohd Uzir dalam satu kenyataan hari ini berkata hampir dua pertiga atau 60.8 peratus daripada jumlah penduduk yang berhijrah itu adalah mereka yang berhijrah dalam negeri.

"Taburan peratus tertinggi migrasi dalam negeri di Malaysia adalah dari bandar ke bandar walaupun menurun kepada 66.9 peratus pada tahun 2018 daripada 71.0 peratus pada tahun 2016,” katanya.

Menurut Mohd Uzir, jumlah yang berhijrah antara negeri merekodkan peningkatan 3.6 peratus kepada 28.5 peratus daripada 24.9 peratus pada tahun 2016.

Selangor adalah negeri destinasi utama migrasi dengan 9,500 berhijrah ke negeri itu pada tahun lepas, katanya.

Menurutnya, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merupakan negeri tertinggi mencatatkan jumlah penduduk yang berhijrah keluar pada 2018 iaitu 22,500 orang, berkurangan berbanding 37,700 orang yang dicatatkan pada 2016.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu