Kerajaan berusaha memajukan agenda hak asasi manusia [ 5m ago ]

80 Kelab Malaysiaku jalani simulasi pilihan raya di Kelantan

Tarikh kemaskini: 10/07/2019
BACHOK, 10 Julai (Bernama) -- Jabatan Penerangan Kelantan, dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya Negeri (SPR) Kelantan, akan mengadakan program simulasi pilihan raya untuk para pelajar dari 80 Kelab Malaysiaku sekolah-sekolah menengah di Kelantan dalam tempoh terdekat.

Pengarah Jabatan Penerangan Kelantan, Lim Ann Teck berkata, program simulasi itu bertujuan mendedahkan pelajar berumur 16, 17 dan 18 tahun kepada kaedah pengundian yang betul di Malaysia.

“Simulasi itu juga sebagai persediaan dengan cadangan kerajaan untuk menurunkan taraf kelayakan umur mengundi rakyat Malaysia dari umur 21 kepada 18 tahun yang kini dalam proses perbincangan di Parlimen,“ katanya kepada pemberita pada program Amalan Demokrasi Berparlimen di Sekolah Menengah Kebangsaan Pak Badol di sini, hari ini.

Katanya, sehingga ini beberapa buah sekolah telah mengadakan simulasi itu termasuk di Machang, Kota Bharu, Gua Musang, Bachok dan akan disusuli di Tanah Merah dalam tempoh terdekat sebelum membabitkan seluruh jajahan.

Menurut Lim, pihaknya juga sedang berusaha untuk mendaftarkan 167,000 rakyat Kelantan berumur 21 tahun dan layak mengundi untuk menunaikan tanggung jawab sebagai pengundi baru selain mengambil langkah menjadikan pelajar sebagai anak angkat kepada penduduk kampung agar mereka mendapat pendedahan bagaimana orang kampung yang lahir sebelum merdeka berkorban untuk menuntut kemerdekaan negara.

Lim berkata pelajar juga akan didedahkan dengan nilai murni dan adat sopan orang kampung yang masih kekal diamalkan oleh penduduk di sesebuah kampung termasuk di kawasan pedalaman.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu