Lebih 5,000 penyokong JDT sambut kejayaan rangkul juara enam musim [ 49m ago ]

Aspek teknologi dan pertanian moden fokus utama RMK12

Tarikh kemaskini: 09/07/2019
Mohd Sallehhuddin Hassan
MELAKA, 9 Julai (Bernama) -- Aspek penggunaan teknologi dan pelaksanaan pertanian moden merupakan antara fokus utama yang akan diberi perhatian khusus dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bermula 2021, kata Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan.

Usaha itu, katanya, sekali gus dijangka dapat mengurangkan kira-kira 30 peratus nilai import sayur-sayuran negara dan menambah bahawa pada tahun lepas sahaja, kira-kira RM3.3 bilion nilai import sayur-sayuran direkodkan daripada jumlah RM50.5 bilion nilai import bekalan makanan negara pada tahun lepas dan jumlah itu dilihat agak tinggi.

"Penggunaan teknologi dan pertanian moden merupakan aspek penting dalam RMK12 selaras dengan Revolusi Industri 4.0 dan Dasar Agro Makanan Negara 2.0 dalam memastikan industri pertanian negara khususnya bekalan sayur-sayuran dapat menampung permintaan semasa serta mengurangkan kebergantungan import.

"Menerusi inisiatif itu juga, kita merancang untuk membuat Dasar Agro Makanan Negara yang baharu yang lebih mampan sekali gus mengurangkan nilai defisit pertanian negara berbanding RM18.8 bilion pada tahun lepas," katanya kepada pemberita selepas perasmian 'Southeast Asian Vegetable Symposium (SEAVEG) di sini, hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan Ketua Menteri Melaja Adly Zahari dan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) Datuk Dr Mohamad Roff Mohamad Noor.

Pada majlis itu, tiga buku berkaitan pertanian bertajuk 'Manual Teknologi Penanaman Kubis Bulat di Tanah Rendah', 'Gearing-up Strategies and Accelerating Researches for Attaining Food and Nutrition Security' dan 'Vegetables for Nutrition Security' turut dilancarkan.

Mengulas lanjut, Mohd Sallehhuddin berkata antara sayur-sayuran yang diimport ialah kubis bunga, salad, lobak dan brokoli dari negara seperti Tailand, Vietnam, China dan Indonesia.

Beliau berkata kaedah penggunaan teknologi dan pelaksanaan pertanian moden yang lebih meluas juga bertujuan menangani kekangan tenaga kerja khususnya dalam kalangan belia dan kekurangan tanah.

"Kaedah pertanian moden boleh menarik anak muda untuk terlibat dalam industri pertanian sebagai pelapis kepada golongan petani yang kebanyakannya telah berusia selain mereka mampu menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM5,000 sebulan sekiranya mereka serius dan konsisten," katanya.

Beliau berkata menerusi kaedah itu juga, aktiviti pertanian lebih ringan, mudah dan hasil dapat dituai dalam tempoh yang lebih singkat.

-- BERNAMA







BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu