AM

MTDC AKAN BUKA PUSAT PENCETAKAN 3D BAGI PKS DI UPM

01/07/2019 02:32 PM

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) akan membuka pusat pencetakan tiga dimensi (3D) di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun ini bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mahu mencipta model 3D produk mereka.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Norhalim Yunus berkata pusat itu, sebahagian daripada hab Industri 4.0 Centre of 9 Pillar (CO9P) MTDC, akan menjadi kemudahan komersial bagi PKS untuk membangunkan lagi dan menyokong ekosistem teknologi. 

"Kami kini bekerjasama dengan dua syarikat tempatan untuk membangunkan pusat pencetakan 3D itu. 

"Inisiatif ini adalah sejajar dengan Pelan Tindakan Industri 4.0 atau Industry4WRD yang dilancarkan pada Oktober lepas untuk memacu transformasi digital dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan berkaitan di Malaysia," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucapan pada majlis jelajah Road2Growth 2019, di sini, hari ini.

Berkenaan dengan komitmen MTDC untuk mengembangkan usahawan tempatan agar bersiap sedia dengan Industri 4.0, Norhalim berkata kerjasama berterusan dengan universiti tempatan dan pemain industri adalah penting kerana ia bertujuan untuk membantu usahawan tempatan mengguna pakai teknologi yang dibangunkan menerusi penyelidikan dan pembangunan (R&D) oleh institusi tempatan.

"Kita juga mempunyai banyak syarikat teknologi tempatan yang mengeksport produk dan perkhidmatan mereka.

"Oleh itu, kami mahu terus mendedahkan syarikat teknologi ini dan universiti, bagi menunjukkan sokongan kami kepada teknologi tempatan yang sama baiknya dan agar PKS tidak lagi mencari penyedia teknologi asing bagi menyelesaikan masalah mereka,” kata Norhalim.

Terdahulu, beliau berkata Road2Growth 2019 menamatkan jelajahnya di sini selepas Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuantan, Kota Kinabalu dan Kuching, yang disertai 1,700 peserta dengan separuh daripadanya adalah penuntut universiti dan ahli akademik. 

"Kita mahu mewujudkan ekonomi kolaboratif dalam ekosistem ini kerana kita tidak boleh mara kehadapan tanpa sokongan yang lain. 

"Justeru, kita berharap PKS akan melihat kami bukan hanya sebagai pembiaya semata-mata tetapi juga untuk mencari rakan kongsi, teknologi, prasarana dan penyelesaian latihan yang sesuai bagi mereka,” katanya. 

Program tahunan secara percuma itu menyediakan platform bagi usahawan dan ahli akademik yang mencari pembiayaan bagi mengkomersilkan teknologi dan inovasi tempatan kemudahan inkubator dan program latihan MTDC. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan