Pharmaniaga lantik pengerusi, pengarah baharu [ 6m ago ]

Akar tunjang pokok sukarkan usaha keluarkan mangsa tanah runtuh

Tarikh kemaskini: 26/06/2019
GEORGE TOWN, 26 Jun (Bernama) -- Usaha mengeluarkan tiga mayat mangsa kejadian tanah runtuh yang berlaku berdekatan sebuah pusat peranginan di Jalan Tanjung Bungah malam tadi mengalami kesukaran disebabkan akar tunjang pokok yang menghalang perjalanan operasi berkenaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Che Zaimani Che Awang berkata usaha giat dilakukan untuk memotong akar tunjang pokok itu bagi membolehkan mayat mangsa yang ditemui dikeluarkan.

“Usaha mengeluarkan mangsa-mangsa yang sudah dijumpai sedang giat dijalankan selain mencari seorang lagi mangsa yang terlibat dalam kejadian ini,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Sehingga 2 pagi ini, ketiga-tiga mayat mangsa warga Myanmar yang sudah ditemukan masih belum dapat dikeluarkan.

Empat pekerja Myanmar berkenaan dilaporkan digaji pemilik pusat peranginan itu untuk membaiki tembok penahan di kawasan itu susulan pergerakan tanah yang berlaku di kawasan itu sejak seminggu lepas, menurut polis.

“Operasi mencari dan menyelamat ini akan diteruskan sehingga kesemua mangsa dapat ditemui dan dikeluarkan untuk dihantar ke Hospital Pulau Pinang bagi proses bedah siasat,” kata Che Zaimani.

-- BERNAMA







BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu