Azmin jawab kenyataan Anwar minta beliau bercuti susulan video intim [ 2h ago ]

Gobind : Amanah satu daripada elemen penting bagi kejayaan transformasi digital

Tarikh kemaskini: 25/06/2019
SINGAPURA, 25 Jun (Bernama) -- Amanah adalah satu daripada elemen penting bagi kejayaan transformasi digital, oleh itu Telekomuniti Asia Pasifik (APT) perlu menerapkan amanah dalam fabrik operasi digital mereka, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Gobind Singh Deo.

Gobind tiba di sini pada Selasa untuk menghadiri Mesyuarat Peringkat Menteri ICT Asia-Pasifik 2019 yang berlangsung dua hari di Marina Bay Sands Expo and Convention Centre, Singapura.

"Amat penting, amanah mesti lahir dari rangkaian kerja yang menggabungi akauntabiliti, ketelusan, etika dan kesamaan,” kata Gobind dalam kenyataan kementerian mengenai Amanah Digital dan Sibersekuriti semasa sidang meja bulat hari ini.

"Dan kita perlu membina amanah sebagai tunggak asas rangkaian kerja ini demi mendapatkan keyakinan pemegang pertaruhan kita bagi membangun masa depan digital. Amanah, dalam suasana ini, hanya dapat dibina dengan memperkukuh sibersekuriti.

"Bagaimanapun, masalahnya ialah revolusi digital tidak saja meningkatkan potensi impak serangan siber yang berjaya, tetapi juga memerlukan penilaian semula yang fundamental tentang pertembungan dengan ancaman siber.

"Ini lebih-lebih lagi demikian bila landskap serangan telah turut berkembang pantas untuk menjadi lebih sofistikated dalam beberapa tahun ini. Serangan kini semakin disasarkan terhadap organisasi dan individu tertentu, sambil mengelak sebarang mekanisme perlindungan biasa sedia ada,” tegas beliau.

Oleh itu, Gobind mengambil perhatian bahawa adalah penting bagi negara-negara anggota APT mempertingkat kesedaran ancaman situasi serantau dengan memperkukuh keupayaan nasional dalam mengesan dan mengurangkan ancaman keselamatan siber.

"Kita tidak saja perlu memfokus kepada membina keupayaan Pasukan Respons Darurat Komputer (CERT) atau Pasukan Insiden Keselamatan Komputer (CSIRTs), tetapi juga perlu menangani risiko keselamatan siber nasional secara holistik dan lengkap menerusi strategi nasional, perundangan dan penguat kuasaan, pembangunan inovasi dan industri serta meningkatkan kesedaran rakyat kita,” kata Gobind.

Bagi menangani risiko ini, Gobind menyatakan Kerajaan Malaysia akan melancarkan strategi siber sekuriti pada tahun ini.

"Strategi ini memperakui kesalinghubungan dan kesalingbergantungan Infrastruktur Maklumat Kebangsaan Kritikal (CNII) di mana sesuatu titik kegagalan akibat serangan, boleh membawa impak buruk terhadap ekonomi, pertahanan dan keselamatan nasional, kesihatan awam dan juga keupayaan kerajaan untuk berfungsi.

"Menyedari bahawa CNII sebahagian besarnya dimiliki dan dikendali oleh organisasi sektor swasta, adalah penting bagi sektor awam dan swasta meneruskan perkongsian bagi memperkukuh keselamatan dan ketahanan infrastruktur kritikal kita," katanya.

Oleh itu, Gobind menggalakan APT melihat kepada pembinaan sebuah perkongisan awam-swasta yang kukuh dengan tujuan membentuk tadbir urus sibersekuriti yang berkesan, yang akan termasuk program kesedaran, pembinaan kapastii, perkongsian maklumat dan pematuhan standard bagi CNII.

"Sehubungan itu, Malaysia ingin menggesa APT mengutamakan amanah digital dan tadbir urus sibersekuriti untuk masa depan yang lebih selamat dan kukuh dalam mana ruang siber akan terus menjadi pemangkin untuk inovasi, pertumbuhan dan kemakmuran,” kata beliau.

Gobind turut mengambil peluang mengucapkan tahniah kepada APT pada ulang tahunnya yang ke-40, dan melahirkan harapan ia akan terus memainkan peranan signifikan dan menerajui program pembangunan dan inovasi dalam Telekommuniti Asia-Pasifik.

-- BERNAMA




BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu