Jho Low perancang bagi Najib untuk semua rancangan 1MDB - Bekas CEO 1MDB [ 3m ago ]

Kepusatan ASEAN perlukan komitmen lebih tinggi - PM

Tarikh kemaskini: 25/06/2019
KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Konsep kepusatan ASEAN yang banyak diperdebatkan memerlukan komitmen lebih tinggi berikutan rantau itu telah menjanjikan pertumbuhan tinggi yang mampan dan juga keamanan, dengan kestabilan dalam kalangan jiran, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Berucap pada Meja Bulat Asia Pasifik ke-33 di sini, Perdana Menteri berkata rantau itu perlu bekerjasama rapat untuk melihat bagaimana ia dapat mengenal pasti dan meningkatkan usaha untuk saling melengkapi.

"ASEAN telah merekodkan pelbagai pencapaian di masa lalu dan ia tidak kekurangan institusi transnasional untuk memacunya.

"Jika ASEAN tidak memanfaatkan saat semasa inisiatif berkenaan ditawarkan untuk direbut, pihak lain mungkin akan berbuat demikian dan dalam cara mereka sendiri – atau tiada apa yang positif akan berlaku," katanya dalam ucaptama bertajuk ‘New Malaysia in a Changing Regional Order’ (Malaysia Baharu Dalam Orde Perubahan Serantau).

Sebuah dunia moden yang kompetitif mengharapkan dan mendesak bagi dasar serantau proaktif yang dipacu oleh pemikiran baharu dan ASEAN mempunyai ruang untuk meneraju kepimpinan di barisan depan, katanya dan memberikan beberapa contoh seperti Forum Rantau ASEAN, Sidang Kemuncak Asia Timur, dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau.

ASEAN juga mempunyai tidak kurang daripada 15 rakan kongsi rasmi di seluruh dunia, seperti Rakan Dialog, Rakan Dialog Sektoral, dan Rakan Pembangunan.

Antara yang lebih menyerlah mungkin adalah Rakan Dialog dengan Kesatuan Eropah, sebagai perkongsian antara rantau Asia dan sebahagian besar Eropah, kata Dr Mahathir.

Beliau berkata Asia Tenggara secara menyeluruh memiliki kelebihan ketara iaitu masih merupakan negara membangun.

Ini bermakna ia boleh membangun lagi, tidak seperti rantau negara maju yang pembangunannya sudah setara.

Dr Mahathir berkata sedekad lepas, ASEAN melaksanakan pelan induknya bagi kesalinghubungan menjelang 2025.

"Anda boleh katakan bahawa China yang kini merancang untuk mengaktifkan semula Laluan Sutera kuno, juga merupakan pelan induk yang jelas bagi ASEAN.

"Kita di ASEAN dapat menikmati keuntungan bersih jika Inisiatif Jalan dan Jalur (BRI) dapat direka untuk memenuhi kepentingan negara dan serantau, sepertimana Pelan Induk Kesalinghubungan ASEAN dihasratkan," katanya.

Dr Mahathir beliau sebelum ini mencadangkan rangkaian kereta api yang baharu dan ditambah baik antara bahagian menghala ke barat Asia Timur menerusi Asia Tengah dan Eurasia ke Eropah.

"Penghantaran barang dengan kereta api adalah lebih cepat daripada kapal dan lebih murah daripada perjalanan udara. Pada masa yang sama, kita dapat meningkatkan hubungan maritim menghala ke barat merentasi Pasifik ke Amerika,'’ katanya.

Namun keselamatan maritim yang mencukupi dan kebebasan pelayaran, konsisten dengan hubungan perdagangan yang mesra dengan semua negara dan pihak, perlu dijamin dalam merentasi lautan.

Aset pelabuhan dan perkapalan yang dirancang dengan itu boleh menukar tumpuan mereka daripada membuat persediaan untuk berdepan dengan perang kepada kesediaan untuk berjaya dalam perdagangan.

"Sebab itu kenapa saya menekankan bahawa kapal perang yang besar di lautan lepas patut digantikan dengan kapal rondaan lebih kecil yang sesuai untuk menjalankan tugas rutin membanteras jenayah, keganasan dan ancaman bukan tradisional yang lain," katanya.

Dr Mahathir menegaskan ASEAN sebagai komuniti serantau telah mencatatkan rekod, di mana tiada negara yang menyertainya telah secara sukarela keluar daripada perkumpulan itu. Sebaliknya, negara-negara daripada rantau lain mahu menjadi sebahagiannya.

Pada ketika ini, negara anggota ASEAN mungkin tidak mencatatkan pertumbuhan KDNK dua angka, tetapi ia bukan merupakan satu kelemahan tetapi lebih kepada fenomena global, beliau menegaskan.

"Dalam kalangan kami, "harimau-harimau'’ Asia sedang merayau-rayau walaupun sesetengah daripadanya sedang tidur untuk seketika, mereka akan bangun dan merampas semula hak kedudukan mereka bila tiba waktunya," katanya mengakhiri ucapan.

Komuniti ASEAN mempunyai kira-kira 660 juta penduduk, separuh daripadanya di bawah umur 30 tahun. Tahun ini ia diunjurkan akan menjana, dari segi kuasa membeli, KDNK sebanyak US$9 trilion.

Dalam lima tahun, angka itu diunjurkan berkembang pesat kepada US$13 trilion.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu