EKONOMI

SERBA DINAMIK TEROKA PELUANG DI MELAKA

25/06/2019 08:15 AM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Serba Dinamik Holdings Bhd telah memeterai kerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka untuk meneroka peluang di Melaka berkaitan dengan minyak dan gas, kejuruteraan dan kerja-kerja awam serta projek pembinaan dan pembangunan.

Usaha kerjasama itu adalah di antara Serba Dinamik Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Serba Dinamik Bhd dan unit Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka, PKNM Energy Sdn Bhd (PKMNE).

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Serba Dinamik Datuk Dr Ir Mohd Karim Abdullah berkata kerjasama itu akan mengembangkan operasi syarikat tersebut di Melaka, selain projeknya di Johor, Sabah, Sarawak dan Terengganu.

"Kami mengadakan dua pusingan perbincangan dan kami telah mengenal pasti beberapa projek. (Sekarang) Kami perlu mendalami dan memahami semua maklumat dalam pusingan pertama perbincangan dan memperhalusi aspek teknikal dan komersial serta selaras dengan dasar mereka sebagai kerajaan negeri.

"Harapnya, kami dapat melancarkan sesuatu dalam masa enam bulan dari sekarang, yang mana kami amat yakin bahawa ia boleh dilaksanakan kerana Melaka adalah negeri yang mempunyai pembangunan yang rancak," katanya kepada pemberita selepas menandatangani memorandum persefahaman dengan PKNME, di sini, hari ini.

Sementara itu, Serba Dinamik memperoleh enam kontrak operasi dan penyelenggaraan (O&M) serta satu kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pengoperasian di Malaysia dan Qatar melalui Serba Dinamik International Ltd dan Serba Dinamik Sdn Bhd.

Kontrak O&M yang diperoleh di Qatar dianggarkan bernilai US$60 juta (kira-kira RM250.62 juta), manakala kontrak yang diperoleh di Malaysia tidak mempunyai nilai khusus kerana ia berdasarkan kepada panggilan kerja, bermaksud arahan kerja akan diberikan mengikut budi bicara pelanggan. 

Mohd Karim berkata kumpulan itu mengekalkan sasaran sebanyak RM10 bilion dari segi nilai perolehan kontrak pada tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2019. 

Setakat ini, nilai perolehan kontrak Serba Dinamik Holdings berjumlah RM8.7 bilion. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan