Agong zahir ucapan tahniah kepada saintis Malaysia Dr Serena [ 10m ago ]

Judi online: Enam warga asing diberkas

Tarikh kemaskini: 20/06/2019
SEREMBAN, 20 Jun (Bernama) -- Enam warga asing ditahan kerana terlibat dengan kegiatan perjudian dalam talian dalam dua serbuan berasingan di dua unit kediaman di Seremban 2, dekat sini.

Pemangku Ketua Polis Negeri Sembilan SAC Datuk Mohamad Mat Yusop dalam kenyataan di sini, hari ini berkata kesemua mereka berumur 25 hingga 38 tahun itu ditahan sepasukan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan dan dibantu Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban dalam Op Dadu.

Kesemua mereka iaitu dua lelaki dan empat wanita warga Indonesia yang dipercayai anggota sindiket perjudian dalam talian ditahan di dua unit kediaman yang dijadikan pusat operasi kegiatan itu di Persiaran S2 G1, Seksyen G di sini, pada 8 malam, semalam dan 7.30 pagi tadi.

Beliau berkata dalam serbuan itu, polis turut merampas satu unit komputer riba, komputer meja (desktop) bersama dua pencetak (10 unit), telefon pintar pelbagai jenama (19 unit), sehelai kertas arahan kerja, penyata kira-kira (12 helai), dua helai kertas senarai nombor akaun, tiga helai kertas nombor telefon orang awam secara rawak, sebuah modem dan switch.

Mohamad berkata siasatan awal mendapati dua unit kediaman yang berfungsi untuk mempromosikan aktiviti perjudian dalam talian menerusi iklan yang dihantar melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) serta aplikasi WhatsApp dan Wechat kepada nombor telefon secara rawak, telah menjalankan operasi selama kira-kira dua bulan.

"Premis berkenaan juga bertindak menguruskan transaksi keluar dan masuk kredit bagi perjudian online. Aktiviti perjudian online ini menawarkan dua laman sesawang iaitu 918kiss.com.my dan newtoncasino.com untuk dimuat turun oleh pelanggan ke dalam telefon bimbit mereka.

“Terdapat lebih 100 jenis permainan di dalam laman sesawang itu antaranya Roullete, Baccarat dan Slot Games. Kesemua tangkapan dalam operasi ini merupakan operator yang menguruskan pusat itu yang beroperasi selama 24 jam setiap hari,” katanya,

Kesemua mereka yang ditahan akan direman untuk siasatan lanjut manakala barangan yang dirampas dibawa ke IPD Seremban, katanya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata sepanjang tempoh Januari hingga Mei tahun ini, polis Negeri Sembilan berjaya menjalankan 383 serbuan bagi kes kegiatan judi ekor tanpa lesen dan 29 serbuan bagi judi dalam talian.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu