Kerajaan pandang serius isu kontroversi Debat Piala Tun Razak 2019 [ 1m ago ]

Program Bina Bakat TOC sasar 15,000 pelajar menjelang 2024

Tarikh kemaskini: 18/06/2019
PETALING JAYA, 18 Jun (Bernama) -- Program Bina Bakat The Otomotif College (TOC) menyasarkan penyertaan 15,000 pelajar bagi mengikuti kursus kemahiran dan diploma automotif menjelang 2024.

Pengarah Eksekutif TOC, Datuk Iqmal Shafiq yakin sasaran itu dapat dicapai dengan kemudahan sedia ada untuk 2,000 pelajar pada masa kini di samping perancangan TOC membuka empat kampus dalam tempoh sama.

“Program yang dilancarkan ini adalah usaha kolej dalam memberi peluang kepada pelajar lepasan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional (SPMV) yang berminat menyambung pengajian mereka dalam bidang automotif.

"Pelajar akan didedahkan dengan teknologi, cara pembuatan, pemprosesan dan teknik baharu dalam sektor automotif,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Program TOC Bina Bakat Peringkat Kebangsaan oleh Pengarah Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional Kementerian Pendidikan Zainuren Mohd Nor.

Iqmal berkata tahun lalu, TOC menerima seramai 100 pelajar lepasan SPM, SPMV dan PT3 yang berminat menyambung pengajian dalam bidang kemahiran automotif, yang mengambil masa kurang tiga tahun.

Katanya kursus yang ditawarkan dalam program itu adalah selama dua tahun setengah bagi program Diploma in Automotive Technology, manakala 18 hingga 24 bulan untuk kursus sijil iaitu Master Technician Course, Superbike Technician Course dan Automotive Customer Service.

Iqmal yakin lulusan TOC mampu memperoleh pekerjaan kerana pihaknya mempunyai jaringan rakan industri daripada pelbagai syarikat automotif terkenal dunia antaranya Honda, Toyota dan Mitsubishi.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu