IPT digesa lahirkan banyak graduan mencipta, bukan hanya pencari kerja [ 5m ago ]

Lembaga Pengarah SRC tidak pernah dimaklum tentang permohonan bagi jaminan kerajaan

Tarikh kemaskini: 12/06/2019
Ismee Ismail
KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Lembaga Pengarah SRC International Sdn Bhd tidak pernah dimaklumkan tentang permohonan syarikat untuk meminta jaminan kerajaan bagi pinjaman RM3.95 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) pada 2011, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Permohonan itu didedahkan melalui sepucuk surat yang ditandatangani Nik Faisal Ariff Kamil selaku Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif SRC yang ditujukan kepada Kementerian Kewangan.

Surat itu ditunjukkan kepada Tan Sri Ismee Ismail, 54, bekas ahli lembaga pengarah SRC oleh peguam Harvinderjit Singh yang mewakili bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada hari ke-23 perbicaraan kesnya.

Harvinderjit: Anda tidak pernah diberitahu mengenai surat ini?

Ismee: Ya.

Harvinderjit: Ini adalah fakta material yang disembunyikan oleh Nik Faisal daripada lembaga?

Ismee: Seolah-olah seperti itu.

Harvinderjit: Surat ini memberikan tanggapan bahawa Nik Faisal bertindak bagi pihak 1Malaysia Development Berhad (1MDB)?

Ismee: Ya.

Kepada soalan lain, saksi pendakwaan ke-39 itu bersetuju bahawa lembaga pengarah syarikat itu tidak pasti mengenai kebenaran cadangan untuk usaha sama dengan syarikat berpangkalan di Abu Dhabi, Aabar Investments PJS.

Harvinderjit merujuk kepada minit-minit yang Nik Faisal maklumkan kepada lembaga syarikat pada tahun 2011 mengenai cadangan usaha sama susulan mesyuarat peringkat tinggi antara wakil Malaysia dan Abu Dhabi, yang membawa kepada permohonan awal oleh SRC untuk pinjaman RM3.95 bilion daripada KWAP.

Harvinderjit: Ada pertemuan pada Jun 2011 yang kedua-dua pihak mengadakan perbincangan, Malaysia dan Abu Dhabi, mengenai sumber strategik. Ini merujuk kepada Najib.

Ismee: Ya.

Harvinderjit: Sejak itu, pelaksanaan dan penyaluran geran permulaan pantas (kepada SRC International). Ia kemudian menunjukkan bagaimana Nik Faisal memberitahu lembaga pengarah berkenaan perbincangan peringkat tinggi antara wakil Malaysia dan Abu Dhabi, kemudian syarikat ini (Aabar-BVI) diwujudkan. Ini melibatkan usaha sama yang dicadangkan. Geran dan proses (pinjaman daripada) KWAP bergantung kepada urus niaga dengan Aabar Investment ini.

Ismee: Ya.

Ismee juga setuju dengan kenyataan Harvinderjit bahawa lembaga pengarah tidak ditunjukkan sebarang dokumen lain oleh Nik Faisal sebagai bukti kepada usaha sama yang dicadangkan itu.

Harvinderjit: Lembaga pengarah menganggap (usaha sama) ini ialah antara kerajaan dengan kerajaan. Ia menghentikan pertanyaan lanjut berkenaan urusan itu.

Ismee: Ya.

Harvinderjit: Sama ada ia benar atau tidak, atau sama ada mana-mana jabatan (kerajaan)mengendalikan urus niaga Aabar, anda tidak tahu?

Ismee menganggukkan kepalanya.

Harvinderjit: Dia (Nik Faisal) memberi tanggapan yang dia lebih tahu.

Ismee: Ya.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa dan tiga pertuduhan melakukan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung.

-- BERNAMA








       Berita Utama Terdahulu