Mak cik tak akan maafkan dosa komunis Bintang Tiga sampai bila-bila Mak Itam [ 19m ago ]

Umat Islam di tiga wilayah selatan Thailand sambut "Rayo Nae "

Tarikh kemaskini: 12/06/2019
PATTANI, 12 Jun (Bernama) -- Umat Islam di selatan Thailand hari ini menyambut Raya Enam atau lebih dikenali sebagai “Rayo Nae” dengan menziarahi kubur kaum keluarga dan membaca kitab suci Al-Quran beramai-ramai.

Rayo Nae merupakan sambutan turun temurun umat Islam di Pattani, Yala, Narathiwat dan empat daerah di Songkhla iaitu Chana, Saba Yoi, Thepha dan Na Thawi selepas selesai mengerjakan puasa enam hari berturut-turut mulai 2 Syawal.

Bersama anggota keluarga masing-masing, mereka mengambil peluang untuk menziarahi dan membersihkan kubur kaum keluarga.

Seorang ustaz dari Sekolah Agama Di Daerah Chana, Songkhla, Abdul Shukur Safie berkata membaca Al-Quran di tanah perkuburan beramai-ramai telah menjadi satu amalan di kalangan penduduk tempatan pada Raya Enam.

“Penduduk tempatan mementingkan sambutan Rayo Nae. Ia bermula dengan solat sunat Rawatib, menziarah kubur kaum keluarga, membersihkan kubur dan selepas itu menjamu selera di masjid beramai-ramai,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Selain itu, penduduk tempatan juga mengadakan majlis makan dengan menyediakan juadah seperti ketupat dan laksa bersama keluarga terdekat sempena Rayo Nae.

--BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu