Rumah terbuka hari raya erat perpaduan kaum di Labuan [ 2m ago ]

RCI Wang Kelian: Bedah siasat awal boleh tentukan punca kematian

Tarikh kemaskini: 12/06/2019
Zahari Noor

PUTRAJAYA, 12 Jun (Bernama) -- Seorang pakar forensik berpendapat punca kematian pendatang asing dalam kes penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis boleh dikenal pasti jika bedah siasat dilakukan lebih awal.

Pakar Perunding Kanan Forensik Jabatan Perubatan Forensik Hospital Besar Pulau Pinang Datuk Dr Zahari Noor berkata kelewatan melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) menyebabkan perubahan dan penyusutan berlaku pada tisu mayat, sekali gus menyukarkan pengecaman punca kematian dapat dibuat dengan lebih tepat.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan kerja-kerja penggalian kubur dan pengendalian mayat ketika proses pemindahan 119 mayat serta tulang-tulang mangsa menjadi antara faktor bukti berkurang.

"Saya berpendapat, jika bedah siasat dibuat pada Januari, iaitu sejurus kubur-kubur itu ditemukan kita yakin sebab kematian dapat diberikan dengan lebih tepat.

"Proses pembusukan mayat berlaku dengan cepat dan dalam hal ini, jika kita dapat mayat dengan tisu lembut yang masih banyak di badan, lebih banyak sebab kematian dapat dijelaskan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa memberi keterangan selaku saksi ke-41 pada sesi pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis yang memasuki hari ke-14 hari ini.

Dr Zahari berkata proses penggalian kubur dan memindahkan mayat yang dilakukan oleh pasukan forensik polis seharusnya turut melibatkan pakar forensik daripada Jabatan Perubatan Forensik hospital kerajaan.

Menurutnya, mereka yang mempunyai kemahiran dalam penggalian kubur serta pengurusan tulang seperti Dr Mohamad Azaini Ibrahim dari Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang seharusnya dilibatkan dalam proses pemindahan mayat sebesar itu.

"Sebelum menggali kubur, lebih baik panggil pakar perubatan forensik yang ada kemahiran berkaitan tulang dan penggalian kubur kerana gangguan oleh lalat sahaja boleh memberi kecelaruan dalam pengiraan anggaran umur mayat yang dibedah siasat," katanya.

Secara peribadi, katanya beliau sendiri mengendalikan bedah siasat ke atas lapan mayat, iaitu kira-kira empat bulan selepas penempatan dan kubur pendatang asing itu ditemui pada Januari.

Katanya beliau dan pasukannya tidak dapat mengenal pasti punca kematian mangsa selain jantina dan tempoh kematian kerana ujian yang dilakukan hanya membabitkan tulang-tulang mangsa.

Saksi ke-39 RCI iaitu Pakar Perunding Kanan Forensik Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah Dr Mohd Suhani Mohd Noor pula mengesahkan 104 daripada 114 mayat yang diperiksa adalah berketurunan India, mengambil kira ciri Kaukasia yang ditemukan pada tulang mangsa selepas ujian DNA dilakukan.

Timbalan Pengerusi RCI Tan Sri Norian Mai bagaimanapun menegur penggunaan istilah 'berketurunan India' kerana boleh menimbulkan persepsi bahawa kaum India adalah yang paling ramai meninggal dunia dalam kes tersebut.

Dr Mohd Suhani berkata beliau hanya menggunakan istilah yang diberikan oleh Jabatan Kimia, namun secara peribadi bersetuju penggunaan Asia Selatan yang turut merangkumi Rohingya adalah lebih tepat.

Selain Dr Mohd Suhani dan Dr Zahari, pakar patologi Dr Mohamad Azaini yang juga Ketua Jabatan Forensik Hospital Serdang turut memberi keterangan pada sesi hari ini.

Prosiding bersambung esok.

-- BERNAMA









BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu