Lima watak ceriakan warga Langkawi [ 52m ago ]

Greatech catat keuntungan bersih RM12.55 juta pada suku-1

Tarikh kemaskini: 10/06/2019
KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) – Greatech Technology Bhd mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM12.55 juta dalam suku pertama yang berakhir 31 Mac, 2019, atas sokongan hasil RM58.73 juta.

Syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata perbandingan angka bagi suku sebelumnya dan suku yang sama pada tahun sebelumnya tidak dapat disediakan kerana ini merupakan laporan kewangan interim pertama bagi keputusan disatu yang diumumkan oleh kumpulan sebagai mematuhi syarat-syarat penyenaraian.

"Seperti yang dinyatakan dalam prospektus syarikat bertarikh 13 Mei, 2019, kumpulan akan menubuhkan sumber sokongan jualan dan perkhidmatan kejuruteraan di Amerika Syarikat untuk mendapatkan jualan, bertindak balas kepada pertanyaan jualan dan teknikal dan bertindak sebagai penghubung antara kumpulan dan pelanggannya,” kata syarikat itu.

Greatech berkata kumpulan itu akan meningkatkan aktiviti jualan dan pemasarannya bagi kesedaran pasaran dan pengembangan dengan menyertai Ekspo Kuasa Fotovoltaik SNEC di Shanghai, China, menggunakan hasil daripada tawaran awam permulaannya (IPO).

"Kumpulan akan terus menumpukan kepada pembangunan produk baharu sistem barisan pengeluaran bagi pemasangan modul bateri dan pek untuk segmen bateri dan meningkatkan produk sedia ada peralatan pemunggahan bagi mengendalikan wafer solar dengan sasaran mengukuhkan kedudukan perniagaannya dalam industri,” kata syarikat itu.

Greatech dijangka disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 13 Jun dengan permodalan pasaran RM381.86 juta.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu