EKONOMI

PELABURAN DILULUSKAN NAIK 3.1 PERATUS KEPADA RM53.9 BILION PADA SUKU PERTAMA

10/06/2019 05:39 PM

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) – Malaysia berjaya menarik pelaburan yang diluluskan bernilai RM53.9 bilion dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan primer bagi suku pertama 2019 (Q1 2019), peningkatan 3.1 peratus berbanding RM52.3 bilion yang direkodkan bagi tempoh sama tahun lepas.

Menurut MIDA, pertumbuhan pelaburan yang positif pada Q1 2019 dipacu terutamanya oleh prestasi pesat sektor pembuatan yang melonjak 126.8 peratus berbanding Q1 2018.

“Pelaburan asing menokok sehingga 73.4 peratus kepada RM29.3 bilion daripada RM16.9 bilion pada Q1 2018. Pelaburan domestik yang diluluskan pada Q1 2019 berjumlah RM24.6 bilion, menyumbang 45.6 peratus terhadap jumlah keseluruhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut MIDA, pelaburan yang diluluskan pada Januari hingga Mac 2019 ialah 1,678 projek dan dijangka menjana lebih 41, 200 peluang pekerjaan kepada negara.

“Sektor pembuatan menyumbang bahagian terbesar bagi jumlah pekerjaan yang berpotensi dalam ekonomi dengan 22,970 peluang pekerjaan atau 55.7 peratus, diikuti sektor perkhidmatan dengan 18,000 peluang pekerjaan (43.7 peratus) dan sektor primer dengan 240 peluang pekerjaan (0.6 peratus),” katanya.

MIDA berkata pekerjaan yang diwujudkan termasuk 1,590 jurutera elektrik dan elektronik, 710 jurutera mekanikal dan 180 jurutera kimia.

Selain itu, projek pembuatan yang diluluskan turut memerlukan kira-kira 1,710 tukang yang mahir seperti penyelia penyenggaraan, pembuat perkakas dan acuan, jurumesin, pegawai teknologi maklumat, pengawal kualiti, juruelektrik dan pengimpal.

Dua pelaburan penting dari Amerika Syarikat (AS) ialah projek daripada Micron Technology dan Jabil Circuit yang akan memperluas operasi pembuatan di Pulau Pinang, manakala pelaburan dari China ialah XSD International Paper, yang diunjurkan memacu pembangunan semua perusahaan kertas di rantau ini dengan pelaburan diluluskan berjumlah RM2.3 bilion.

“Projek yang diluluskan ini dijangka menjana kesan berganda yang kukuh termasuk pertumbuhan syarikat domestik atau industri sokongan kejuruteraan, pembangunan kluster, penyumberan tempatan, memperkukuh aktiviti penyelidikan dan pembangunan dan pembangunan modal insan,” katanya.

Pecahan negara untuk pelaburan asing yang diluluskan dalam sektor pembuatan pula ialah AS yang menyumbang RM11.5 bilion, China (RM4.4 bilion), Singapura (RM2.2 bilion), Jepun (0.6 bilion), dan Kepulauan Virgin British (RM0.5 bilion).  

Menurut MIDA, pada suku ini, sektor perkhidmatan meyumbang pecahan terbesar pelaburan yang diluluskan melibatkan 1,445 projek yang diluluskan dengan pelaburan bernilai RM26.1 bilion.

Pelaburan yang besar ialah daripada sumber domestik yang menyumbang RM18.0 bilion atau 69 peratus daripada jumlah yang diluluskan, manakala sumber asing menyumbang RM8.1 bilion atau 31 peratus.

“Lima sub-sektor utama dengan jumlah pelaburan tertinggi ialah harta tanah (RM11.0 bilion atau 42. 3 peratus), diikuti perdagangan beragihan ((RM8.2 bilion atau 31.6 peratus),utiliti (RM4.0 bilion atau 15.4 peratus), hotel dan pelancongan (RM1.8 bilion atau 7.0 peratus) dan perkhidmatan sokongan (RM550.9 juta atau 2.1 peratus),” katanya.

Sementara itu, sektor primer menyumbang RM2.4 bilion atau 4.5 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan pada Q1 2019 dengan majoriti pelaburan daripada sumber domestik (RM1.4 bilion atau 58.3 peratus), manakala pelaburan asing berjumlah RM1.0 bilion atau 41.7 peratus.

“Sub-sektor perlombongan yang didominasi aktiviti penerokaan minyak dan gas, diterajui pelaburan yang diluluskan sebanyak RM2.2 bilion atau 91.7 peratus, diikuti perladangan dan komoditi berjumlah RM140.0 juta dan sub-sektor pertanian RM43.5 juta,” katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan