EKONOMI

SEMAKIN BANYAK NEGARA MAHU GUNA KEPAKARAN HALAL MALAYSIA -- MATRADE

07/06/2019 12:59 PM

Oleh Azlee Nor Mahmud

KUALA LUMPUR, 7 Jun (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berkata semakin banyak negara mencari peluang untuk mempelajari kepakaran Malaysia dalam industri halal khususnya melalui pensijilan serta ekosistem.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Wan Latiff Wan Musa berkata Jepun, Taiwan, Chile, Kazakhstan dan Uzbekistan ialah antara negara yang melahirkan minat untuk memanfaatkan pengalaman Malaysia sebagai perintis pensijilan halal dan ekosistem industri.

“Kita telah mendahului berbanding negara Muslim yang lain,” katanya kepada Bernama, dan menurutnya hasrat tersebut akan mendorong Malaysia untuk terus maju dalam industri halal.

Pada masa yang sama, beliau menegaskan kepentingan mengubah tanggapan bahawa konsep halal itu hanya melibatkan daging, sedangkan ia merangkumi keseluruhan proses pembuatan sesuatu produk. 

Sehubungan itu, beliau berkata Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) 2019 berhasrat memperkenalkan pensijilan halal kepada produk baharu seperti lampin, tuala wanita serta sarung tangan perubatan menerusi program tahunan itu.

Wan Latiff berkata industri halal ialah satu daripada industri yang diberikan tumpuan istimewa oleh kerajaan meliputi rancangan induk industri, selain penubuhan Majlis Halal Malaysia bagi menyelaras dan memantau pelaksanaan inisiatif halal menerusi rancangan induk itu.

“Dengan komitmen kerajaan, kita dapat melihat bahawa industri halal di Malaysia berkembang pesat,” katanya memaklumkan setakat ini terdapat 13 piawaian halal di negara ini yang menjadi panduan bagi syarikat Malaysia berkembang maju dalam industri tersebut.

“Kira-kira 8,000 syarikat Malaysia mempunyai pensijilan halal dengan 1,700 daripadanya merupakan pengeksport,” kata Wan Latiff.

Bagi ekosistem industri, Wan Latiff berkata Malaysia telah mewujudkan sistem komprehensif termasuk pensijilan, kemudahan serta pendanaan bagi membolehkan industri berkenaan terus berkembang.

Beliau berkata industri tersebut menyasar mencecah RM50 bilion nilai eksport menjelang 2020 berbanding RM40 bilion tahun lepas menerusi komponen utama seperti makanan dan minuman (F&B), derivatif minyak sawit, bahan halal, kosmetik dan penjagaan kulit serta produk farmaseutikal dan bahan kimia perindustrian.

F&B terdiri daripada kira-kira 50 peratus daripada eksport berkenaan, katanya.

Memetik laporan Thomson Reuters, Wan Latiff  berkata pengguna Muslim membelanjakan kira-kira US$2.1 trilion pada 2018 dengan US$1.3 trilion bagi F&B.

Mengulas minat Jepun dan Taiwan terhadap industri halal, beliau berkata kedua-dua negara telah menandatangani memorandum persefahaman dengan MATRADE pada tahun lepas yang antara lain membuka jalan untuk pembangunan industri halal di negara tersebut.

Katanya, Jepun berhasrat melancarkan kempen halal bagi pelancongan halal bersempena Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Menurut Wan Latiff, Jepun menerima 31 juta pengunjung pada 2018 dengan jutaan daripadanya beragama Islam termasuk 400,000 rakyat Malaysia.

“Mereka menyasar menerima 40 juta pelancong pada 2020 termasuk 1.5 juta yang beragama Islam,” katanya.

Wan Latiff berkata Taiwan turut meneroka pelancongan Islam dengan menyasar Malaysia sebagai satu daripada pasaran mereka.

Negara itu berhasrat menganjurkan ekspo ketiganya di Malaysia susulan kejayaan dua ekspo pada tahun lepas, kata beliau.

Bagi Kazakhstan, beliau menjelaskan MATRADE pula bekerjasama dengan Islamic Development Bank (IDB) dan syarikat tempatan untuk membangunkan kewangan Islam di negara itu.

“Mereka juga berhasrat menarik penggiat kewangan Islam Malaysia untuk menyediakan perkhidmatan tersebut di negara berkenaan selain membantu bank tempatan untuk memahami kewangan Islam,” kata Wan Latiff.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan