Akar tunjang pokok sukarkan usaha keluarkan mangsa tanah runtuh [ 4h ago ]

Bekas jurufoto Bernama meninggal dunia

Tarikh kemaskini: 25/05/2019
KUANTAN, 25 Mei (Bernama) -- Bekas jurufoto Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Manan Ahmad, 71, meninggal dunia di kediamannya di Sungai Karang Darat di sini, pukul 4.15 pagi ini, akibat serangan jantung.

Menantu arwah, Mohd Hezreek Razali, 36, berkata Allahyarham ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam bilik air dipercayai selepas terjatuh.

"Saya diminta untuk memeriksa arwah kerana dirasakan terlalu lama berada di bilik air. Ketika itu isteri dan ibu mertua sedang menyediakan hidangan untuk bersahur," katanya semasa ditemui di rumah arwah di sini, hari ini.

Mohd Hezreek berkata arwah pernah menjalani pembedahan pintasan jantung kira-kira lapan tahun lepas.

Jenazah akan dikafan di rumah sebelum disolatkan di Masjid Jamek Sungai Karang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Tanjung Pisang di Sungai Karang di sini, selepas Zohor.

Allahyarham difahamkan menyertai Bernama pada 1975 dan pernah berkhidmat di Kuala Lumpur, Sabah serta Pahang sebelum menyertai Pejabat Menteri Besar Pahang pada 1995.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri Salmah Muhammed, 61, dan tiga orang anak berusia antara 32 hingga 42 tahun.

Sementara itu, Pengerusi Bernama, Datuk Seri Azman Ujang semasa ditemui di sini, menyifatkan arwah sebagai seorang yang amat komited dalam tugasannya sepanjang mereka ditugaskan di Sabah pada 1980.

"Pernah pada suatu ketika, kerana mahu mengirim gambar dengan pantas, arwah meminta bantuan penumpang di Lapangan Terbang Kota Kinabalu supaya memberikan gambar itu kepada petugas Bernama yang menunggu di Lapangan Terbang Subang.

"Semasa itu tiada perkhidmatan internet, jadi jurufoto perlu kreatif bagaimana mahu mengirimkan gambar mereka ke Kuala Lumpur dalam pelbagai cara," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Akhbar Menteri Besar Pahang Datuk Abdul Wahab Mohamad Ali yang pernah berkhidmat dengan arwah semasa bergelar wartawan di Bernama Pahang pada 1989, mengingati arwah sebagai seorang yang amat penyabar.

"Arwah sangat penyabar dalam melaksanakan apa juga tugasan yang diarahkan. Itu menjadikan tugasan kami lebih mudah," katanya.

-- BERNAMA






BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu