Cacat penglihatan bukan halangan bergelar penulis [ 5m ago ]

Untung bersih AirAsia X meningkat kepada RM43.33 juta

Tarikh kemaskini: 17/05/2019
KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Airasia X Bhd merekodkan keuntungan bersih RM43.33 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2019 daripada RM41.50 juta yang direkodkan untuk tempoh sama tahun lepas.

Bagaimanapun, ia mencatat perolehan yang rendah sebanyak RM1.17 bilion berbanding RM1.27 bilion sebelum ini, berikutan penyusutan bilangan penumpang sebanyak lima peratus tahun ke tahun kepada 1.51 juta daripada RM1.58 juta bagi suku pertama 2018.

“Kami berdepan beberapa cabaran pada tahun lepas, iaitu peruntukan susut nilai bagi usaha sama dengan Indonesia, peningkatan 35 peratus tahun ke tahun bagi purata harga bahan api dan beberapa masalah di pasaran tempat kami beroperasi -- faktor yang di luar kawalan syarikat.

“Bagaimanapun, struktur kos AirAsiaX yang baik membolehkan kami mencatat prestasi itu walaupun dalam ketidaktentuan bahan api dan mata wang,” kata Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Nadda Buranasiri dalam kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai unjuran syarikat, beliau berkata syarikat penerbangan tambang rendah itu akan mengekalkan perancangan untuk menerajui pertumbuhan AirAsiaX sebagai satu kumpulan.

Buranasiri berkata AirAsia X Malaysia tidak akan mengambil pesawat tambahan pada tahun ini kerana menjangka penghantaran jenama baharu pesawat A330-neo yang cekap bahan api pada akhir tahun depan.

“Ketika ini kami memberi tumpuan untuk mencapai prestasi laluan yang optimum, mengukuhkan (pasaran) China dan Jepun, yang mana jenama kami adalah lebih kukuh berbanding sebelum ini, selain untuk membina (pasaran) Korea Selatan dan India yang merangsang potensi untuk laluan yang lebih unik,” katanya.

Beliau berkata syarikat penerbangan itu akan terus memastikan untuk berada di kedudukan terbaik pada masa depan serta mengambil kira kemajuan ruang digital dengan memanfaatkan perjalanan transformasi digital kumpulan AirAsia.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu