Pahang dan Perak kongsi mata [ 6h ago ]

Smart Global akan bantu tingkatkan tenaga kerja mahir Malaysia

Tarikh kemaskini: 09/05/2019
Oleh Goh Kok Chuan

BUTTERWORTH, 9 Mei (Bernama) -- SMART Global Holdings, pengeluar penyelesaian memori dan storan yang berpangkalan di California, menyasar menyumbang kepada aspirasi Malaysia untuk meningkatkan kumpulan tenaga kerja berkemahiran tinggi daripada 18 peratus ketika ini kepada 35 peratus.

Kumpulan itu, yang memiliki kira-kira 500 pekerja bagi operasinya di Malaysia merancang meningkatkan tenaga kerjanya di sini sebanyak 10 hingga 15 peratus dalam masa setahun, kata Pengurus Besar SMART Modular Technologies Sdn Bhd Vejay Kumar kepada Bernama selepas taklimat media dan kunjungan ke kemudahan pembuatan syarikat itu di Seberang Jaya, di sini.

Naib Presiden Eksekutif SMART Global Holdings Jack Pacheco, yang berada di Malaysia bagi menghadiri taklimat itu berkata revolusi perindustrian terkini akan membolehkan produktiviti dan kecekapan lebih tinggi dalam industri pembuatan tetapi pada masa yang sama memerlukan tenaga kerja yang terlatih dan bersiap sedia serta cekap untuk mengguna pakai teknologi inovatif, pintar dan membawa perubahan besar.

Pacheco, yang juga Ketua Pegawai Operasi dan Kewangan SMART Global Holdings mengumumkan kerjasama syarikat itu dengan syarikat perkakasan komputer IBM Malaysia untuk mengubah operasi pembuatannya bagi memenuhi tuntutan landskap teknologi yang berkembang pesat.

Beliau berkata berdasarkan kepada laporan Perbadanan Data Antarabangsa 2019, keluaran dalam negara kasar negara banyak bergantung kepada pembuatan berteknologi tinggi, dan transformasi digital berpotensi menambah US$10 bilion (RM41.5 bilion) kepada ekonomi Malaysia menjelang 2021.

“Digital Malaysia, program pembangunan ekonomi kerajaan untuk meletakkan negara sebagai pemain utama ekonomi digital, menggalakkan pengeluar memanfaatkan perkakas dan kemahiran pembuatan baharu bagi meraih manfaat ekonomi revolusi perindustrian keempat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan IBM Malaysia Catherine Lian berkata peranan IBM dalam kerjasama itu termasuklah menyediakan bengkel kerja IBM Enterprise Design Thinking bagi meningkatkan kemahiran dan melatih semula tenaga kerja SMART, serta pembangunan automasi kilang yang diperkasakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI). koloboratif robot (cobots) untuk meningkatkan keupayaan manusia.

Beliau berkata cobots diprogramkan oleh IBM PowerAI Vision, yang termasuk alat intuitif yang memperkasakan pakar bagi melabel, melatih dan menggunakan model visi pembelajaran mantap tanpa pengekodan atau kepakaran pembelajaran mantap.

“Dengan menggunakan cobots, kami menyasar untuk mengurangkan kesilapan manusia dan memaksimumkan kecekapan kos dan hasil perniagaan,” katanya.

Lian berkata cobots diprogramkan untuk bekerjasama dengan manusia bagi meningkatkan kecekapan pengeluaran perindustrian pembuatan, tetapi mereka tidak akan sepenuhnya menggantikan manusia.

“Dari segi kerjasama dengan robot, kami percaya tujuan menggunakan cobots adalah untuk membolehkan manusia berkembang dan pembesarannya adalah bertujuan untuk membolehkan keupayaan manusia,” katanya.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu