Pahang dan Perak kongsi mata [ 6h ago ]

Rakyat perlu berganding bahu tingkat produktiviti demi pertumbuhan ekonomi negara

Tarikh kemaskini: 04/05/2019
KOTA KINABALU, 4 Mei (Bernama) -- Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ignatius Darell Leiking berkata semua rakyat Malaysia perlu berganding bahu untuk meningkatkan produktiviti dalam setiap perkara yang dilakukan kerana ia memberikan sumbangan dalam pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau berkata, perkara itu sangat penting kerana pemimpin perniagaan dan pakar ekonomi berpendapat bahawa produktiviti adalah antara ramuan utama dalam kemajuan ekonomi sesebuah negara.

“Kepentingan produktiviti kerap kali ditekankan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Setiap perkara yang kita lakukan adalah berkait rapat dengan peningkatan produktiviti… untuk meningkatkan produktiviti itu sebenarnya bermula dari rumah sehingga ke tempat kerja dengan memanfaatkan masa sebaik mungkin,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Hari Produktiviti Bersama Komuniti Penampang di sini, hari ini.

Darrel menasihati agar jangan terlalu mudah untuk merasa selesa dengan kejayaan yang diperoleh, namun apa yang penting adalah terus beriltizam untuk bekerja keras dan bersedia menghadapi cabaran yang bakal tiba pada masa hadapan.

“Sematkan semangat ‘kaizen’ dalam diri kita untuk sentiasa berusaha melakukan penambahbaikan dan peningkatan produktiviti sepanjang masa sesuai dengan pepatah ‘hari besok pastinya lebih baik dari hari ini,” tambahnya.

Mengulas mengenai program berkenaan, Darrel berkata ia dianjurkan oleh sebuah agensi di bawah kementeriannya iaitu Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bagi menyebarkan agenda produktiviti kepada masyarakat setempat di kawasan Penampang.

“Semasa program ini MPC akan mengumpul pelbagai data yang kemudiannya akan dirumuskan untuk mengenalpasti langkah-langkah untuk mempertingkatkan produktiviti masyarakat di kawasan berkenaan.

“Program seumpama ini akan terus diadakan di daerah lain di seluruh negara kerana pendekatan untuk meningkatkan produktiviti di setiap daerah adalah berbeza,” katanya.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu