KK Sentral terminal commences operations [ 4m ago ]

Harap bina paip bekal air mentah dari Empangan Machap - Maszlee

Tarikh kemaskini: 26/04/2019
KLUANG, 25 April (Bernama) -- Bagi mengelakkan masalah bekalan air bersih daripada terus berlarutan kepada penduduk Simpang Renggam, Anggota Parlimennya, Dr Maszlee Malik mengharapkan kerajaan negeri Johor dapat mempertimbangkan untuk menyegerakan pembinaan paip bagi membekalkan air mentah dari Empangan Machap, di sini.

Menurut Maszlee, buat masa ini sumber bekalan untuk kegunaan penduduk Simpang Renggam dari Sungai Ulu Benut telah tercemar dan telah menjejaskan bekalan air bersih kepada mereka.

Katanya, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) dan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim (MESTECC) juga disarankan untuk melihat kepada keperluan bagi memperbaiki kualiti air di Sungai Ulu Benut ini.

“Kerjasama dan tindakan tegas serta serius semua pihak yang terlibat dalam menyelesaikan perkara ini adalah amat dihargai dan diharapkan satu penyelesaian konkrit dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat kerana pihak kerajaan sentiasa mengutamakan kebajikan warga Simpang Renggam.

“Sehingga kini, operasi Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam masih lagi tergendala selepas berlaku pencemaran ammonia di peringkat sumber air mentah di Sungai Ulu Benut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Maszlee, yang juga Menteri Pendidikan, berkata masalah utama ini adalah berpunca akibat lokasi tapak perlupusan sampah Ladang CEP1 yang terletak di kawasan tidak strategik dan mendedahkan penduduk kepada risiko tidak diingin.

Menurutnya, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada pentadbiran terkini yang mampu berusaha untuk menutup tapak pelupusan sampah Ladang CEP1 baru-baru ini.

Namun, katanya, semasa kerja-kerja pemulihan itu dijalankan, berlaku hujan yang lebat di tapak pelupusan sampah berkenaan yang akan menyebabkan ban tanah yang menampung kolam leachate cell 2 pecah dan melimpah ke Sungai Benut.

-- BERNAMA











BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu