Muhyiddin bertemu MB, ADUN PH Johor bincang pelbagai isu rakyat [ 6m ago ]

China hampir pasti ke pusingan akhir Kejuaraan AFC B-23

Tarikh kemaskini: 24/03/2019
SHAH ALAM, 24 Mac (Bernama) -- China hampir pasti layak ke pusingan akhir Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah 23 Tahun (B-23) tahun depan selepas membelasah Filipina 8-0 pada pusingan kelayakan Kumpulan J di Stadium Shah Alam di sini, hari ini.

Kemenangan kedua skuad bimbingan Guss Hiddink itu meletakkan pasukan China menungguli kumpulan dengan enam mata manakala Filipina tersingkir daripada pusingan akhir di Thailand selepas dua kekalahan.

Pada perlawanan tersebut, China, yang mengalahkan Laos 5-0, Jumaat lalu, mendahului Filipina 5-0 pada babak pertama menerusi jaringan Shan Huanhuan pada minit ke-10, Hu Jinghang (13’ dan 42'), Huang Cong (19') dan Lin Liangming pada minit ke-29.

Pada babak kedua, China terus memberi tekanan kepada Filipina dengan menambah tiga lagi jaringan menerusi Shan Huanhuan sekali lagi pada minit ke-77 dan dua jaringan oleh pemain gantian Zhang Yuning pada minit ke-48 dan ke-89.

Hiddink, dalam sidang media, berkata anak buahnya mungkin akan menghadapi saingan sengit daripada tuan rumah, Malaysia, pada perlawanan akhir pusingan awal Selasa ini.

Jurulatih Belanda berusia 72 tahun itu berkata anak buahnya mengikut semua perancangan yang diatur dan ia dapat dibuktikan menerusi peningkatan tahap persembahan sejak beliau membimbing pasukan itu September tahun lalu.

Mengenai pertemuan dengan Malaysia, Hiddinks berkata ia bukan mudah kerana pasukan tuan rumah mempunyai beberapa pemain yang handal serta bermain dengan baik ketika menewaskan Filipina 3-0 kelmarin.

Sementara itu, penolong ketua jurulatih Filipina, Randolfo Clarino mengaku China adalah pasukan yang lebih hebat.

"Harap anak buah saya akan meningkatkan kekuatan mental sebelum berdepan Laos, Selasa ini,” katanya.

-- BERNAMA









BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu