Lynas Malaysia achieves one year 'lost time injury free' [ 4m ago ]

Alhaj Automotive akan bangunkan kilang pemasangan Proton di Pakistan

Tarikh kemaskini: 23/03/2019
KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- Alhaj Automotive, pengedar rasmi Proton di Pakistan, akan membuat pelaburan awal sebanyak US$30 juta untuk membina kilang pemasangan tempatan (CKD) pertama bagi kenderaan Proton di negara itu.

Menurut Proton, kilang yang akan dibangunkan di kawasan baharu di Karachi tersebut dijangka memulakan operasi menjelang akhir tahun depan dan mewujudkan 2,000 peluang pekerjaan langsung dalam tempoh tiga tahun pertama operasinya.

“Dianggarkan 20,000 lagi peluang pekerjaan tidak langsung akan diwujudkan apabila kilang baharu itu beroperasi sepenuhnya,” menurut pembuat kereta nasional itu dalam kenyataan hari ini.

Pengerusi Alhaj Automotive, Al-Haj Shah Jee Gul Afridi berkata di peringkat awal pihaknya akan mendapatkan unit lengkap yang telah siap dari Malaysia sebelum beralih kepada produk CKD apabila kilang pemasangan baharu itu mula beroperasi.

“Kami akan memanfaatkan pengedar semasa kami yang berada di seluruh negara agar mula menjual kenderaan Proton secepat mungkin dan pada masa sama membangunkan outlet 3S/4S yang berdiri sendiri,” katanya.

Di Islamabad hari ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan rakan sejawatannya di Pakistan, Imran Khan merasmikan majlis pecah tanah simbolik bagi kilang tersebut.

Pada 2017, Proton melancarkan strategi tujuh bintang, pelan hala tuju untuk mencapai matlamat jangka panjang mereka termasuk menyasarkan untuk menjual 400,000 unit menjelang 2027.

Bidang pertumbuhan masa depan utama bagi syarikat adalah jualan eksport dan pewujudan kilang pemasangan tempatan di pasaran luar negara merupakan antara langkah yang diambil untuk meningkatkan jumlah berkenaan.

Bagi tujuan mewujudkan Proton di Pakistan, satu perjanjian bersama Alhaj Automotive telah ditandatangani pada 29 Ogos, 2018 dengan syarikat itu dilantik sebagai pengedar tunggal untuk kenderaan Proton di negara tersebut.

-- BERNAMA




BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu