JPA adakan Hari Bertemu Pelanggan Secara Maya esok [ 8m ago ]

GPM komited bantu mangsa gempa bumi di Lombok

Tarikh kemaskini: 22/03/2019
Daripada Siti Zanariah Nor Zin

LOMBOK, 22 Mac (Bernama) -- Global Peace Mission (GPM) Malaysia menyatakan komitmen akan menghantar bantuan susulan kepada mangsa gempa bumi di Lombok.

Ketua Pegawai Operasi GPM Malaysia Syahrir Azfar Saleh berkata bencana yang berlaku pada Ahad lepas telah menyebabkan sebilangan penduduk di beberapa daerah di Lombok Utara dan Timur terjejas teruk.

"GPM Malaysia sebelum ini banyak memberi bantuan dengan membina penempatan sementara kepada masyarakat di Lombok Utara yang ditimpa gempa bumi pada Julai tahun lepas, " katanya kepada Bernama News Channel (Astro saluran 502) di sini, hari ini.

Syahrir yang juga Ketua Misi GPM Malaysia berkata bantuan susulan itu melalui misi kemanusiaan #peduligempalombok turut disasarkan kepada penduduk Desa Senaru di bahagian Lombok Utara.

Beliau berkata 10 pemuda kampung berkenaan difahamkan telah menggadai nyawa membantu 22 rakyat Malaysia yang ditimpa bencana sewaktu sedang berkelah di Air Terjun Tiu Kelep baru-baru ini.

"Dalam kejadian baru-baru ini yang melibatkan rakyat kita, penduduk khususnya yang tinggal berdekatan Air Terjun Tiu Kelep inilah antara yang pertama memberikan bantuan dengan membawa keluar mangsa ke tempat selamat.

"GPM Malaysia akan cuba melakukan sesuatu selepas ini bagi meringankan beban penduduk selain sebagai tanda penghargaan kita kepada mereka," katanya.

Dalam pertemuan itu, Syahrir turut menyerahkan sumbangan RM1,000 kepada wakil penduduk disaksikan wakil Kepala Daerah Lombok Utara, Timur dan wakil kerajaan Indonesia.

Dalam kejadian gempa bumi itu, dua rakyat Malaysia terbunuh, tujuh yang lain cedera dengan empat daripadanya mendapat rawatan di hospital sementara 13 orang lagi selamat.

Kesemua 22 rakyat Malaysia dilaporkan berada di Air Terjun Tiu Kelep di Senaru apabila gempa berukuran 5.8 skala Richter melanda Lombok Timur, Nusa Tenggara Barat, Indonesia pada 17 Mac.

Seorang pemuda Desa Senaru berusia 14 tahun dikenali sebagai Tomy Al Bayani turut terkorban dalam kejadian itu.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu