E-Mutiara tambah 26 bas baharu bernilai RM26 juta [ 57m ago ]

Barangan tiruan bernilai lebih RM36,000 dirampas

Tarikh kemaskini: 22/03/2019
TAIPING, 22 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) cawangan Taiping menyita 635 pelbagai barangan tiruan berjenama antarabangsa bernilai lebih RM36,000 dalam satu operasi di Kamunting, semalam.

Ketua Cawangan KPDNHEP Taiping, Mohamad Kamarol Mat Nor berkata dalam operasi bermula 11 pagi itu, barangan dirampas terdiri daripada selipar, kasut dan pakaian.

Beliau berkata operasi di premis pakaian sukan itu disertai sepasukan pegawai penguatkuasa kementerian serta wakil cap dagang jenama antarabangsa berkenaan.

"Pemeriksaan adalah hasil risikan selama seminggu kerana mendapati premis tersebut menjual secara runcit barangan jenama yang disyaki tiruan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohamad Kamarol berkata pihaknya memandang serius peniaga yang menggunakan perihal dagangan palsu serta ia melanggar Akta Perihal Dagangan 2011 dan tindakan tegas boleh dikenakan ke atas mereka di bawah akta tersebut.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu