E-Mutiara tambah 26 bas baharu bernilai RM26 juta [ 59m ago ]

Program "Perjalanan ke Dunia Prasarana" kenalkan pelajar kepada pengangkutan awam

Tarikh kemaskini: 22/03/2019
KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan menganjurkan program khas “Perjalanan ke Dunia Prasarana” atau Journey to the World of Prasarana sempena cuti sekolah yang bermula minggu depan.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana (Operasi), Encik Muhammad Nizam Alias berkata, program tujuh hari dari 25 Mac hingga 31 Mac itu adalah antara inisiatif Prasarana bagi memperkenalkan operator pengangkutan awam itu kepada orang ramai.

"Eksklusif untuk pelajar sekolah sahaja, program lawatan berpandu itu memberi peluang kepada pelajar melihat secara dekat kerja-kerja di depoh tren LRT Kelana Jaya di Subang dan perkhidmatan Bas Rapid Transit (BRT) di Bandar Sunway termasuk tugas di pusat kawalan operasi, kerja penyelenggaraan dan pembersihan tren dan bas," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Muhammad Nizam berkata, 'perjalanan' itu ditawarkan pada harga RM45 untuk sekolah rendah dan RM55 untuk sekolah menengah bagi satu sesi. Pakej lawatan itu turut menyediakan jamuan makan, cabutan bertuah dan penerangan secara terperinci mengenai tugas dan kerja-kerja yang dilakukan di kawasan-kawasan yang ditutup kepada orang awam.

"Sebagai permulaan, program ‘School Holiday Special – Journey to the World of Prasarana’ adalah hanya untuk perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya dan BRT-Laluan Sunway. Sekiranya mendapat sambutan, kita akan memperluaskan program ini kepada laluan MRT Sungai Buloh Kajang, LRT Laluan Ampang/Sri Petaling, Laluan Monorel dan depoh-depoh bas yang lain,” katanya.

Muhammad Nizam berkata, program lawatan akan bermula di Stesen LRT Ara Damansara dan peserta akan diberikan taklimat mengenai program dan langkah-langkah keselamatan sepanjang program berkenaan.

"Peserta kemudian dibahagikan kepada dua kumpulan dengan Kumpulan Tango mengambil tren terus ke Depoh LRT di Subang dan Kumpulan Bravo menaiki tren dan BRT ke Depoh BRT di Bandar Sunway.

"Bagi lawatan untuk pelajar sekolah menengah, program berkenaan turut memasukkan segmen ‘ceramah kerjaya’ bagi menerangkan tentang peluang-peluang pekerjaan di sektor pengangkutan awam khususnya program latihan di Akademi Rel dan Akademi Bas, yang dikendalikan oleh Pusat Kecemerlangan Prasarana atau ‘Prasarana Centre of Excellence’ (PACE)," katanya.

Menurutnya, program khas itu adalah peluang terbaik kepada pelajar untuk memanfaatkan cuti mereka dengan aktiviti yang berfaedah. Di samping menambah pengetahuan, mereka juga akan mendapat pengalaman menyeronokkan dengan kepelbagaian aktiviti yang diatur termasuk cabutan bertuah.

"Untuk menyertai lawatan ini atau mendapatkan maklumat lanjut, mereka boleh menghubungi pegawai kami melalui whatsapp pada nombor 019-3959539." katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu