BN not fielding candidate for Sandakan by-election [ 3m ago ]

Murid tahun satu maut dilanggar van sekolah

Tarikh kemaskini: 22/03/2019
GEORGE TOWN, 22 Mac (Bernama) -- Seorang murid tahun satu maut dilanggar van sekolah yang dinaikinya selepas mangsa berlari di hadapan kenderaan itu dalam kemalangan di Tingkat Paya Terubong, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Che Zaimani Che Awang berkata dalam kemalangan pukul 1 tengah hari itu, mangsa Ngoh Zhoo Han,7, maut ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Pulau Pinang (HPP).

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila van sekolah itu baru tiba di kawasan Tingkat Paya Terubong untuk menghantar murid-murid sekolah yang tinggal di kawasan berkenaan.

"Ketika van itu mahu bergerak ke lokasi lain untuk menghantar murid sekolah, tiba-tiba mangsa berlari ke depan kenderaan itu dan pemandunya tidak sempat mengelak dan melanggar murid berkenaan," katanya malam ini.

Beliau berkata mangsa yang mengalami kecederaan parah dibawa ke HPP oleh pemandu van sekolah dan bapa kanak-kanak berkenaan sebelum dia disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 1.40 tengah hari.

"Bedah siasat mendapati mangsa meninggal disebabkan kecederaan parah akibat kemalangan dan polis membuka kertas siasatan menurut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu