Memanah: Khairul terlepas peluang raih gelaran dunia [ 2h ago ]

Bayi lelaki meninggal dunia selepas diambil dari Taska

Tarikh kemaskini: 09/03/2019
IPOH, 9 Mac (Bernama) -- Seorang bayi lelaki berusia empat bulan meninggal dunia beberapa jam selepas diambil dari taman asuhan kanak-kanak (Taska) di Bandar Seri Botani, semalam.

Meor Ikram Addnan, 32, berkata anaknya Muhammad Aakif Iskandar disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Jabatan Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini kira-kira 6.55 petang.

Menurutnya, dia menghantar anaknya ke hospital berkenaan setelah dimaklumkan oleh pengasuh bahawa anak bongsu daripada tiga beradik itu lemah dan tidak bermaya kira-kira 6 petang.

“Masa saya ambil anak di taska kira-kira 6.10 petang, anak saya dah tak sedar, badan lembik, kaki tangan semua pucat. Saya terus bawa ke bahagian kecemasan HRPB.

“Doktor sedaya upaya untuk selamatkan anak saya tetapi denyut nadi, jantung otak semua dah berhenti dan anak saya disahkan meninggal dunia kira-kira 6.55 petang,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, HRPB di sini hari ini.

Menurutnya anak bongsunya itu berada dalam keadaan sihat dan hanya hidung berair kerana selesema sebelum dihantar ke taska berkenaan.

Katanya dia turut menghantar anak keduanya iaitu lelaki berusia setahun ke taska itu sementara anak sulungnya, perempuan berusia lima tahun.

“Selama saya hantar kedua-dua anak saya ke taska itu, saya periksa tiada kesan lebam," katanya, menambah mula menghantar Muhammad Aakif Iskandar sejak sebulan lalu, selepas isterinya Ismahani Zainal Abidin, 30, seorang pekerja bank kembali bekerja setelah habis cuti bersalin.

Dia yang bekerja sebagai penjaga stor di sebuah pasar raya, turut meluahkan rasa terkilan kerana pengasuh lewat memberitahu keadaan anaknya.

Menurut Meor Ikram, Muhammad Aakif Iskandar dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Changkat Larang, di sini selepas solat zuhur hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Mohd Adli Tamby mengesahkan menerima laporan kejadian daripada bapa bayi berkenaan.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh Supt Mazuki Mat berkata laporan bedah siasat ke atas bayi tersebut mendapati punca kematiannya adalah disebabkan paru-paru berair.

“Bedah siasat dijalankan dari 9 pagi hingga 12.30 tengah hari dan punca kematian disahkan paru-paru sembab atau berair,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya tiada tangkapan serta rampasan dilakukan dan kes itu diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA).

-- BERNAMA




BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu