Jerebu: Siasat syarikat perladangan Malaysia - Lee Lam Thye [ 5m ago ]

Sultan Kedah pengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja

Tarikh kemaskini: 27/02/2019
KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) - Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah hari ini mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-253 di Istana Negara di sini.

Mesyuarat dua hari bermula hari ini turut dihadiri semua Raja-Raja Melayu kecuali Terengganu.

Raja-Raja yang berangkat ialah Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir.

Sementara itu, Kelantan diwakili Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra dan Pahang diwakili Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.

Mesyuarat yang bermula 10.30 pagi itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Pada mesyuarat itu, Raja-Raja Melayu diiringi Menteri Besar masing-masing manakala Yang Dipertua Negeri diiringi Ketua-Ketua Menteri.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu