World Junior Championship: Host Malaysia must take advantage [ 14m ago ]

Fiesta Belon Udara Panas warnai langit Putrajaya Mac ini

Tarikh kemaskini: 25/02/2019
Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Dr Aminuddin Hassim (kiri) bersama Pengerusi MyBallonFiesta Mohammad Sobri Saad mencuba belon udara panas pada Majlis Pelancaran Fiesta Belon Udara Panas Antarabangsa ke-10 Putrajaya 2019 di Dewan Sri Siantan Kompleks PPj hari ini.
PUTRAJAYA, Feb 25 (Bernama) -- Fiesta Belon Udara Panas Putrajaya 2019 (MyBalloonFiesta) akan mewarnai langit pusat pentadbiran persekutuan itu bagi meraikan ulang tahunnya ke-10 dengan belon berwarna-warni bermula 28 hingga 31 Mac ini di Presint 2 di sini.

Festival tahunan yang dianjurkan bersama AKA Balloons Sdn Bhd dan Perbadanan Putrajaya (PPj) itu dijangka menarik lebih daripada 200,000 pengunjung termasuk pelancong antarabangsa.

Presiden PPj Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata acara itu akan memaparkan 20 pengendali belon dari 14 negara termasuk Sepanyol, Slovakia, Brazil, Australia, Jepun, Belgium, Amerika Syarikat, United Kingdom, Korea Selatan dan Malaysia.

“PPj melihat MyBalloonFiesta sebagai satu daripada acara pelancongan utama dan berharap ia dapat disenaraikan dalam kalendar tahunan PPj. Fiesta Belon Udara Panas Putrajaya ini membina jenamanya sendiri dan dapat mempamerkan Putrajaya sebagai satu destinasi pelancongan,” katanya ketika merasmikan acara itu di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi fiesta Mohammad Sobri berkata acara itu akan menampilkan tujuh belon berbentuk khas dengan pelbagai rekaan tahun ini seperti Robot Woozi (Brazil), Pink Gnome (Sepanyol), Bruno the Clown (Slovakia), Pink Elephant (Belgium), Tako the Octopus (Jepun), Happy Chan (Jepun) dan Black Bear (Taiwan).

Beliau berkata bagi menambahkan keseronokan pesta tahun ini, sebuah belon iglu, inisiatif daripada artis Sepanyol Jordi Enrique yang mengitar semula belon udara panas lama membentuk struktur berbentuk iglu dan bercahaya akan dipamerkan pada hujung minggu di Pink Zone dari 7 malam hingga 10 malam.

Mohammad Sobri, seorang daripada juruterbang belon udara panas pertama negara berkata acara kemuncak pesta adalah ‘Night Glow Access’ yang mempesonakan, yang mana belon akan dinyalakan secara serentak dengan iringan muzik serta pertunjukan bunga api pada hujung minggu (3--31 Mac).

“Aktiviti lain ialah peluang eksklusif menaiki belon yang diikat melalui pakej MyBalloonClub atau bersarapan dengan pemandangan indah sambil menyaksikan belon di Picnic Zone.

“Pertandingan ‘Hare and Hound’ juga dikenali sebagai ‘Rudy’s Trophy’, yang dinamakan sempena pengasas Fiesta Belon Udara Panas Putrajaya akan dianjurkan sebagai tambahan acara khususnya untuk juruterbang membolehkan mereka mempamerkan kemahiran menerbangkan belon di langit Putrajaya,” katanya.

Peluang menaiki belon udara panas yang diterbangkan semasa pesta berkenaan ditawarkan MyBalloonAdventure.com dan tiket boleh dibeli di www.myballoonadventure.com.

-- BERNAMA




BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu