Dua ditahan seludup rokok di Masai [ 7m ago ]

Penjual kebab, buruh ditahan, ganja bernilai RM60,000 dirampas

Tarikh kemaskini: 21/02/2019
KEPALA BATAS, 21 Feb (Bernama) -- Polis menahan seorang penjual kebab dan seorang buruh yang disyaki anggota sindiket pengedaran dadah dan merampas lebih satu kilogram ganja dalam dua serbuan di sini Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata penjual kebab berumur 30 tahun itu ditangkap di sebuah rumah di Permatang Tinggi B kira-kira pukul 11.40 pagi dan merampas ganja seberat 242 gram dianggar bernilai RM10,000 daripadanya.

“Pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk membungkus dadah itu selain alat untuk menghisap dadah juga ditemui di rumah lelaki itu,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini.

Susulan penahanan lelaki itu, Noorzainy berkata polis menyerbu sebuah lagi rumah di Taman Bertam Indah di sini kira-kira pukul 7 malam dan menahan seorang buruh berumur 48 tahun dan merampas 1.008 kilogram ganja bernilai RM50,000 serta peralatan membungkus dadah.

“Semasa serbuan, dadah yang ditemui itu sudah siap dibungkus dalam kuantiti 10 gram setiap satu dan dipercayai hendak dijual dengan harga antara RM30 dan RM50 sebungkus,” katanya.

Noorzainy berkata kedua-dua lelaki itu dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah yang sama dan mendapatkan bekalan daripada seorang lelaki sebelum membungkusnya semula dan menjual kepada pelanggan tetap di sekitar SPU.

Katanya kedua-dua suspek yang didapati positif mengambil dadah selain mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah terlibat dalam kegiatan berkenaan sejak tahun lepas dan dikatakan mengaut jualan ribuan ringgit setiap bulan.

“Suspek direman sehingga 26 Feb ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan,” katanya.

Sementara itu, Noorzainy berkata polis menahan 423 orang termasuk 13 warga asing dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM101,712 di SPU sejak Januari hingga semalam.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu