Pakistan boleh jadi pintu masuk Proton tembusi pasaran lain [ 5m ago ]

Roger Ng hanya akan diekstradisi selepas selesai kes di Malaysia

Tarikh kemaskini: 19/02/2019
KUALA LUMPUR, 7 Jan -- Datuk Tan Hock Chuan (tengah) yang merupakan peguam bela kepada bekas ahli perbankan Goldman Sachs Roger Ng Chong Hwa hadir untuk mendengar keputusan permohonan ikat jamin anak guamnya di Mahkamah Sesyen Siber hari ini. Bagaimanapun mahkamah menolak permohonan ikat jamin tersebut. Roger kini direman di bawah Akta Ekstradisi 1992 (Akta 476) berhubung siasatan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). --fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
PUTRAJAYA, 19 Feb (Bernama) -- Proses ekstradisi bekas Pengarah Urusan Goldman Sachs, Roger Ng ke Amerika Syarikat (AS) hanya akan dilaksanakan selepas kesnya di mahkamah Malaysia selesai, kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata ia berdasarkan nasihat Peguam Negara Tommy Thomas kepadanya menerusi satu surat rasmi beberapa hari lepas yang memaklumkan Ng mempunyai kes di bawah undang-undang Malaysia dan akan didengar di mahkamah negara ini bulan depan.

"Jadi berkemungkinan ekstradisi Ng akan dilaksana lewat sedikit kerana perlu utamakan kes yang ada di Malaysia. Itu nasihat peguam negara," katanya ketika diminta mengulas mengenai ekstradisi Ng selepas majlis sambutan ulang tahun ke-47 Jabatan Sukarelawan Malaysia di kementeriannya di sini hari ini.

Pada 15 Feb, Ng yang nama penuhnya Ng Chong Hwa, 47, dilaporkan bersetuju untuk diekstradisi ke AS bagi menghadapi tiga pertuduhan berhubung 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di mahkamah negara itu. Hakim M. M. Edwin Paramjothy membenarkan permohonan Ng selaku responden ketika sebutan kes itu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Ng yang kini direman di bawah Akta Ekstradisi 1992 (Akta 476) memohon untuk dikecualikan daripada menghadapi prosiding diekstradisi yang dikemukakan oleh kerajaan terhadapnya.

Dalam prosiding tersebut, peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Ng ketika berhujah memaklumkan anak guamnya bersetuju untuk diekstradisi ke AS dalam 30 hari ini kerana telah bersedia untuk menghadapi kesnya yang akan didengar di mahkamah di New York.

Ng ditahan pada 1 November tahun lepas berdasarkan waran tangkap yang dipohon oleh kerajaan AS dan diperintah menjalani reman 60 hari bagi proses prosiding ekstradisi berikutan tiga pertuduhan yang dihadapinya di mahkamah New York.

November tahun lepas, lelaki itu dituduh tanpa kehadirannya di mahkamah AS bersama rakannya bekas eksekutif Goldman Sachs, Tim Leissner dan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Mengikut tuduhan, Jho Low dan Ng bersubahat mengubah berbilion dolar wang yang diselewengkan daripada 1MDB dan berkonspirasi untuk melanggar Akta Pencegahan Rasuah Pegawai Asing (FCPA) dengan membayar rasuah kepada pihak berkuasa Malaysia dan Abu Dhabi.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu