MFL nafi bakal serah geran tahunan Liga Malaysia Ogos ini [ 3m ago ]

TM perlu lebih prihatin berhubung layanan terhadap pelanggan - Gobind

Tarikh kemaskini: 19/02/2019
Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.
KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo mahu Telekom Malaysia (TM) agar lebih prihatin berhubung layanan terhadap pelanggannya.

Mengulas aduan seorang pelanggan yang disiarkan sebuah portal berita, Gobind Singh berkata ia bukan aduan pertama berkenaan layanan yang diterima oleh pelanggan TM.

“Tindakan perlu diambil untuk pastikan kejadian sebegini tidak berulang lagi dan supaya imej mereka tidak terjejas,“ katanya dalam catatan dalam laman Twitternya, hari ini.

Menerusi satu segmen di portal itu, seorang wanita mengadu mengenai kesukaran yang terpaksa ditempuhi bapanya ketika berurusan dengan pihak TM untuk menamatkan langganan talian tetap TM.

Bapanya yang berusia 89 tahun dan berkerusi roda terpaksa dibawa ke pusat TMPoint untuk urusan itu kerana perlu mengikuti polisi TM yang tidak membenarkan individu lain meskipun anak sendiri menjadi wakil.

Tambah membebankan, bapanya yang juga pelanggan tetap TM sejak 50 tahun lepas turut diminta pergi ke pusat TMPoint lain kerana kakitangan di situ mendakwa mereka tidak boleh menamatkan langganan itu, menyebabkan pengadu terpaksa membawa pulang bapanya yang telah mengalami keletihan.

Merujuk aduan itu, TM dalam segmen sama hari ini telah memohon maaf kepada pengadu dan menjelaskan telah menghubungi pelanggan berkenaan bagi menyelesaikan isu itu.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu