Van driver killed, nine students injured in crash [ 8h ago ]

PAS tidak sokong UMNO kerana lawan di Semenyih bukan DAP - Dr Mahathir

Tarikh kemaskini: 17/02/2019
PUCHONG, 17 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan pimpinan PAS memaklumkan mereka tidak akan menyokong UMNO pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih kerana Pakatan Harapan (PH) tidak meletakkan wakil DAP sebagai calon.

Dr Mahathir berkata pertemuan pada Jumaat lepas itu dihadiri Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan dua lagi pemimpin PAS iaitu Setiausaha Agung Datuk Takiyuddin Hassan serta Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, namun mereka tidak menyatakan akan menyokong Bersatu atau PH pada PRK 2 Mac ini.

"Saya cuma terpaksa kata yang mereka (Abdul Hadi, Takiyuddin dan Ahmad Samsuri) mengakui mereka tidak akan menyokong (UMNO) kali ini kerana lawan kali ini bukan DAP. Mereka menyatakan mereka tak akan sokong UMNO tapi mereka tidak akan isytiharkan perkara itu.

"(Tetapi) Bila saya dengar penafian, terpaksa saya sebut apa yang berlaku...pengakuan mereka, kali ini mereka tidak akan sokong UMNO tetapi mereka tak cakap akan sokong Bersatu atau PH dan mereka (PAS) tak akan hadir (semasa penamaan calon) tapi kita lihat hadir juga," katanya pada sidang media selepas melancarkan Dasar Komuniti Negara (DKN) di sini hari ini.

Turut hadir isteri perdana menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri KPKT Zuraida Kamaruddin, beberapa menteri kabinet dan Menteri Besar Selangor Amiruddin Shaari.

Dr Mahathir berkata pimpinan PAS berkenaan menyerahkan sepucuk surat contoh yang ditandatangani oleh Takiyuddin sebagai pengakuan tersebut.

Beliau berkata dalam pertemuan itu juga pimpinan PAS itu menyatakan mereka menyokong pimpinan beliau sebagai Perdana Menteri.

"Tetapi sebagaimana kita tahu mereka tidak selalunya menyokong saya," katanya.

Katanya pertemuan tersebut lebih berkisar kepada penyelarasan tugas antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri.

"Mereka meminta untuk ada wakil daripada parti itu dalam badan-badan kerajaan tertentu, dan kita juga meminta wakil PH diberi tempat dalam kerajaan negeri yang kita tak ada wakil," katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu