Scientex Q2 net profit rises to RM73.7 mln [ 4m ago ]

Dr Mahathir lancar Dasar Komuniti Negara

Tarikh kemaskini: 17/02/2019
PUCHONG, 17 Feb (Bernama) – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini melancarkan Dasar Komuniti Negara, satu pendekatan untuk membentuk komuniti yang lebih peka kepada isu-isu sosial dalam masyarakat dan mewujudkan kehidupan lebih sejahtera.

Memberi penekanan kepada nilai, cara hidup serta aspek sosial yang diamalkan oleh komuniti bandar dalam menjalani kehidupan seharian, dasar pembangunan sosial itu bertujuan menerapkan nilai-nilai murni dan peningkatan keupayaan insan bagi mencapai kesejahteraan hidup masyarakat.

Dalam perutusan di buku kecil setebal 32 halaman itu, Dr Mahathir berkata selain kestabilan politik dan ekonomi berkembang pesat, perjalanan Malaysia ke arah sebuah negara maju, yang moden dan kukuh ekonominya, memerlukan aspek sosial yang rapi dan utuh.

“Rakyat yang bekerjasama dan hidup bersatu-padu tanpa mengira kaum mahupun latar belakang merupakan kunci utama kepada strategi sesebuah negara seperti Malaysia untuk terus mengorak langkah menjadi sebuah negara maju,” katanya.

Dr Mahathir tiba di Padang Awam Taman Puchong Perdana di sini, diiringi isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamed Ali. Hadir sama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan beberapa menteri kabinet.

Dasar Komuniti Negara adalah satu dasar yang digubal kerajaan Pakatan Harapan bagi mendaya upaya komuniti dan pendekatan kerajaan mencorak dan menggerak komuniti supaya mempunyai kesedaran dan prihatin terhadap harta benda, ruang serta kemudahan yang dikongsi bersama masyarakat setempat.

Menurut data urbanisasi yang dikeluarkan Kementerian Perumahan dan kerajaan Tempatan, 75.6 peratus daripada jumlah populasi negara ini memberi keutamaan untuk tinggal di bandar yang menjadikan usaha pembangunan dan pengukuhan komuniti di bandar-bandar sesuatu yang tidak boleh dielak, malah perlu diberi perhatian khusus oleh semua pihak.

Komuniti bandar, yang 30 peratus daripadanya menetap di perumahan strata, merupakan golongan yang perlu diberi perhatian dalam usaha pengisian diri, keluarga serta orang lain di persekitaran mereka supaya mempunyai pengetahuan serta kemahiran yang cukup.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu