Pengguna boost dapat guna e-dompet mereka di Singapura, Thailand pada suku kedua [ 4m ago ]

Penghidap kanser dinasihat tidak percaya rawatan tanpa bukti keberkesanan

Tarikh kemaskini: 17/02/2019
IPOH, 17 Feb (Bernama) -- Individu yang dikesan menghidap kanser dinasihat tidak melambat-lambatkan rawatan awal dan percaya kepada terapi atau rawatan yang tiada bukti keberkesanan.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata selain itu, menjadi tanggungjawab orang ramai untuk mengetahui tanda-tanda awal penyakit kanser kerana kebanyakan penyakit itu jika dikesan di peringkat awal boleh diubati.

"Kita perlu bersama-sama memerangi mitos, informasi yang tidak benar dan salah faham yang menyebabkan rakyat Malaysia enggan menjalani saringan, enggan atau melambat-lambatkan rawatan awal," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kledang Hill Challange bersempena sambutan Hari Kanser Sedunia peringkat negeri di sini hari ini.

Program tersebut dianjurkan oleh Kelab Sukan dan Kebajikan Anggota Kesihatan Kinta dan Pejabat Kesihatan Daerah Kinta Batu Gajah bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat dan aktif melalui bersukan.

Dr Lee, yang juga Anggota Parlimen Gopeng, berkata kesedaran rakyat Malaysia mengenai penyakit kanser masih rendah berbanding negara maju lain, kebanyakan pesakit hanya menyedarinya apabila ia sudah di peringkat terakhir.

"Kementerian Kesihatan menyediakan kemudahan saringan kanser secara percuma seperti mamogram dan pap smear di hampir kesemua klinik kesihatan untuk mengesan kanser di peringkat awal," katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu