Sarkunan's own goal gives victory to Terengganu FC [ 6h ago ]

Perpaduan kaum penting untuk Malaysia jadi negara maju - TPM

Tarikh kemaskini: 17/02/2019
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tengah) menerima Sayur Tuah (Cai Qing) pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat Parlimen Pandan di Taman Muda hari ini.
KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) -- Perpaduan kaum menjadi antara faktor penting untuk Malaysia mencapai status negara maju selain kepesatan pembangunan dan ekonomi, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sehubungan itu, beliau berkata rakyat Malaysia perlu memperkukuh dan mengekalkan keharmonian hubungan antara kaum.

“Kemajuan negara bukan diukur menerusi kepesatan pembangunan ekonomi sahaja tetapi keharmonian antara kaum dan agama harus sentiasa dipelihara…sekiranya tidak diberi perhatian ia akan menyebabkan negara menjadi mundur dan ketinggalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2019 anjuran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Pandan di Padang Taman Muda, Ampang Jaya, DI sini, malam ini.

Wan Azizah berkata program sambutan perayaan seperti Tahun Baharu Cina itu perlu diadakan setiap tahun agar rakyat Malaysia pelbagai kaum dapat berinteraksi serta menjalinkan hubungan erat.

“Apa yang penting, budaya hormat-menghormati yang menjadi teras perpaduan seluruh rakyat selama ini dipertahan dan diperkasakan serta menjadi contoh kepada generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata budaya kunjung-mengunjung masyarakat pelbagai kaum di negara ini ketika musim perayaan yang masih dikekalkan sehingga hari membuktikan integrasi kaum di negara ini erat dan utuh.

"Ini adalah kekuatan dan kebanggaan kita, rakyat Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu