Sepakan bebas safawi selamatkan maruah Malaysia [ 5h ago ]

Kerajaan mula bayar balik GST, cukai pendapatan

Tarikh kemaskini: 16/02/2019
Lim Guan Eng (Gambar fail)
KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) -- Kerajaan telah memulakan proses pembayaran balik tunggakan cukai berjumlah RM37 bilion, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

“Tahun ini kita ada harapan yang ekonomi negara akan bertambah baik, lebih-lebih lagi tahun ini kita akan mulakan pembayaran balik GST dan cukai pendapatan sebanyak RM37 bilion.

“Ia akan dibayar dalam tempoh 10 bulan dan bayaran pun sudah dimulakan, perkara ini akan merangsang pembangunan ekonomi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) di sini, hari ini.

Bayaran balik GST itu dikatakan berjumlah RM19 bilion sementara bayaran balik cukai pendapatan berjumlah RM18 bilion.

Sementara itu ketika diminta mengulas mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, beliau berkata kerajaan harus berusaha untuk memberi peringatan kepada rakyat bahawa perlunya sebuah kerajaan yang stabil dan bersatu padu.

“Hanya Pakatan Harapan yang dapat mewakili kesemua kaum di Malaysia dan menyatupadukan rakyat. Kalau sebut tentang parti lain, mereka hanya boleh wakilkan satu kumpulan sahaja yang tidak boleh satupadukan negara, tetapi hanya boleh memecahbelahkan rakyat,” katanya.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu