UTHM sedia jadi peneraju dron kargo [ 4m ago ]

AADK latih imam, pemimpin komuniti banteras penyalahgunaan dadah

Tarikh kemaskini: 13/02/2019
KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) akan mendidik dan melatih imam serta pemimpin komuniti dalam usaha memerangi najis dadah di kawasan-kawasan berisiko tinggi di negara ini, kata Ketua Pengarahnya Datuk Seri Zulkifli Abdullah.

Katanya kumpulan ini akan diberikan bimbingan antaranya, cara mengenalpasti mereka yang terlibat dengan aktiviti itu menerusi kempen Perangi Dadah Habis-habisan (PDH).

"Usaha perangi aktiviti penyalahgunaan dadah, tidak boleh dilaksanakan oleh pihak berkuasa sahaja, pemimpin dalam komuniti perlu memainkan peranan.

"Kita (AADK) akan bagi ilmu kepada tok imam selain ibu bapa yang anaknya terlibat dadah juga perlu mengikuti sesi kaunseling," katanya ketika menjadi menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel di sini malam ini.

ADK sebelum ini berkata penempatan Felda, Program Perumahan Rakyat, dan perkampungan nelayan, antara 178 kawasan berisiko tinggi aktiviti dadah di seluruh negara.

Zulkifli berkata kebanyakan individu berusia 19 hingga 39 tahun yang terlibat aktiviti dadah adalah mereka yang tidak mempunyai pekerjaan tetap serta penganggur.

"Ada yang terjebak disebabkan ajakan kawan-kawan, stress, serta ada dilaporkan pelajar universiti menggunakan dadah untuk berjaga malam untuk belajar," katanya menambah perkara ini perlu diatasi segera.

Selain itu, Zulkifli berkata pihaknya sedang merangka modul program pendidikan, serta pencegahan yang baharu untuk digunakan di negara ini.

"Modul yang lama tidak boleh digunakan lagi dan sekarang kita (AADK) sedang melihat modul (pencegahan) dari negara luar untuk disesuaikan dengan negara ini," katanya.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu