Points dropped and Selangor's stuttering Malaysia Cup campaign continues [ 6h ago ]

WGS adakan perbincangan menyeluruh, daripada perang siber kepada kesihatan mental

Tarikh kemaskini: 12/02/2019
Oleh M. Saraswathi

DUBAI, 12 Feb (Bernama) -- Sidang Kemuncak Kerajaan Dunia 2019 (WGS) yang baru berakhir telah mengadakan perbincangan yang menyeluruh mengenai isu-isu yang kerajaan perlu beri perhatian dan menanganinya dalam dunia yang pesat berubah.

Walaupun menjadi kelaziman untuk menyaksikan analisis data, tinjauan ekonomi dan cabaran, isu alam sekitar dan potensi bidang pertumbuhan dalam mana-mana persidangan dan sidang kemuncak, kali ini, ia turut merangkumi Revolusi Perindustrian Keempat.

Bertemakan "Membentuk Masa Depan Kerajaan", sidang kemuncak selama tiga hari itu turut membincangkan mengenai isu tekanan dan kesihatan mental.

Arianna Huffington, Pengasas Huffington Post dan Thrive Global, berkata tekanan dan kurang tidur telah menyebabkan orang berasa letih dan lesu di seluruh dunia.

"Terdapat delusi yang kita perlukan untuk berjaya dan tidur itu satu pilihan," katanya, yang menggalakkan orang ramai untuk menetapkan masa dan berehat.

Menurut laporan, kesihatan mental boleh menelan belanja sebanyak US$16 trilion di seluruh dunia menjelang 2030.

Joulan Abdul Khalek, Pengasas Happy Space (happyspace.io), berkata suatu yang baik melihat topik kesihatan mental, kesejahteraan dan kebahagiaan dibincangkan pada WGS.

"Ini merupakan trend baharu, dan ia boleh meningkat. Oleh itu, sama ada anda dalam sektor swasta atau awam, isu ini tidak boleh diabaikan," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata Happyspace.io, platform pengedaran selamat pertama di dunia yang mengukur kebahagiaan awam, menggunakan kecerdasan buatan untuk mengukur kebahagiaan orang dan data itu akan disediakan untuk orang ramai.

WGS turut meliputi isu seperti perang siber, ancaman yang semakin meningkat terhadap keselamatan dan integriti negara.

Pakar keselamatan siber, Rodringo Bijou berkata perang siber memberi impak ekonomi yang besar, justeru sektor swasta dan awam perlu bersedia.

"Negara perlu membentuk strategi di sekitar kelemahan mereka dan syarikat perlu memahami risiko digital mereka yang sebenar," katanya.

WGS yang ketujuh dan berakhir hari ini, menyaksikan lebih 4,000 peserta dari 140 negara.

Antara tokoh penting yang menjadi tumpuan ialah bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-Moon, pemenang Hadiah Nobel Leymah Gbowee, Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan, Perdana Menteri Estonia, Juri Ratas, Naib Presiden Costa Rica, Epsy Campbell Barr dan Ketua Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Christine Lagarde.

Dalam ucapan, Lagarde menyentuh mengenai rangkuman kewangan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berikutan ia membantu mewujudkan pekerjaan, mempelbagaikan ekonomi dan menyokong pertumbuhan.

Beliau berkata di rantau Arab, PKS mewakili 96 peratus daripada syarikat berdaftar dan menggaji separuh daripada tenaga buruh, bagaimanapun akses mereka kepada bantuan kewangan paling rendah di dunia.

Pinjaman kepada PKS di rantau ini hanya menyumbang tujuh peratus daripada jumlah pinjaman bank, katanya.

"Kami mendapati merapatkan jurang rangkuman kewangan ini - berkaitan purata negara membangun dan negara pesat membangun - akan memberikan pelbagai manfaat ekonomi. Ia dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi tahunan sehingga satu peratus, berpotensi membawa kepada 15 juta pekerjaan baharu menjelang 2025 di rantau Arab," katanya.

Sementara itu, Pope Francis, yang bercakap pada persidangan itu melalui pautan video, berkata penggubal dasar dan pemimpin kerajaan bukan sahaja perlu menjadikan kepentingan ekonomi sebagai keutamaan tetapi juga kepentingan sosial dan moral dalam menangani cabaran global.

"Saya berharap persoalan yang menjadi kebimbangan anda bukan hanya menjadi ‘apa peluang terbaik untuk dimanfaatkan’ tetapi juga ‘jenis dunia yang kita mahu bina bersama’ katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu