Second witness called in Soh Chee Wen's penny stock crash trial [ 35s ago ]

Petron lancar kedai rasmi dalam talian pertamanya di Shopee

Tarikh kemaskini: 12/02/2019
KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Minyak enjin Petron kini boleh didapati secara dalam talian melalui platform e-dagang terkemuka Shopee yang mempunyai lebih 16 juta pengguna di Malaysia.

Ketua Jabatan Dagangan Runcit dan Komersial Petron Malaysia Choong Kum Choy berkata ia menandakan pelancaran kedai rasmi dalam taliannya yang pertama, selaras komitmen syarikat itu dalam meningkatkan pengalaman pelanggan dengan menyediakan akses lebih luas dan mudah kepada produknya.

“Kami sentiasa berusaha menggembirakan pelanggan dan meningkatkan pengalaman mereka bersama kami.

“Pelanggan Petron kini boleh menikmati pengalaman pembelian yang lancar. Hanya semak, klik dalam talian untuk membeli minyak enjin Petron dan mendapat penghantaran produk terus kepada mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Choong berkata menerusi portal membeli belah itu pelanggan boleh mendapatkan pelbagai produk minyak enjin Petron seperti Petron Blaze Racing Fully Synthetic, Petron Blaze Racing Synthetic Blend dan Petron Blaze Racing Premium Multi-Grade.

Beliau berkata kedai rasmi Petron di Shopee juga memberikan pelanggan akses kepada panduan dan maklumat produk.

Choong berkata selaras dengan kempen Tahun Baharu Cina Petron dan kempen Shopee Khas Untuk Lelaki yang akan datang, Petron Malaysia menawarkan barangan premium untuk sebarang pembelian Petron Blaze Racing Engine Oil.

“Setiap pembelian minyak enjin Petron Blaze Racing 4L dilengkapi hadiah istimewa speaker bluetooth percuma untuk setiap pembelian Petron 4L Blaze Racing Fully Synthetic 5W-40, manakala pembelian 4L Petron Blaze Racing Synthetic Blend 10W-40 akan dilengkapi satu set fon telinga tanpa wayar percuma.

“Sementara itu, pelanggan yang membeli 4L Petron Blaze Racing Premium Multi-Grade atau 7L Rev-X Premium Multi-Grade 15W40 akan menerima pengecas kereta USB percuma. Promosi ini sah sehingga 28 Feb atau sementara stok masih ada,” katanya.

Choong berkata kaedah pembelian dalam talian kini semakin berkembang dan pengguna boleh meyakini keaslian minyak enjin Petron di kedai rasmi Petron di Shopee kerana produk itu dihantar daripada pengedar sah.

“Kami berharap pelanggan dapat menikmati inisiatif baharu ini sebagai sebahagian usaha kami memenuhi keperluan terkini mereka dan menawarkan layanan lebih baik,” katanya.

Shopee merupakan platform dalam talian untuk memenuhi keperluan rakyat dengan memberikan pengalaman membeli belah dalam talian yang mudah dan selamat dan kini pantas menjadi tapak e-dagang terkemuka di Malaysia.

Sejak dilancarkan pada 2015, Shopee, platform e-dagang terkemuka di Asia Tenggara dan Taiwan, telah menunjukkan komitmen tinggi dalam menyediakan pengalaman membeli-belah dalam talian yang terbaik kepada rakyat sambil menawarkan penyelesaian kepada penjual dan jenama mengenai cara mengoptimumkan jangkauan mereka.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu