Boy dies after falling into pool near quarry [ 2h ago ]

SlingApp sasar padan 1 juta pekerjaan menjelang akhir tahun

Tarikh kemaskini: 12/02/2019
KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Aplikasi mudah alih mencari pekerjaan, SlingApp menyasarkan untuk memadankan lebih satu juta pekerjaan dalam 10 industri menjelang akhir tahun untuk mereka yang mencari pekerjaan berumur 18 hingga 30 tahun.

Pengasas bersama SlingApp Teh Tian Ji berkata sejak pelancarannya pada 2017, SlingApp berjaya memadankan 40,000 pencari kerja dengan lebih 2,000 syarikat termasuk jenama global utama seperti DiGi Communications, AEON, Mary Kay, Sushi King, Tony Roma’s dan Public Mutual.

"Carian kerja akan ditetapkan dalam radius 30 kilometer untuk kemudahan perjalanan dan saringan pertama proses pengambilan dilakukan melalui Auto-Interviu yang mempunyai lima soalan kepada pemohon," katanya dalam kenyataan hari ini.

Slingapp turut bekerjasama dengan program eRezeki Malaysia Digital Economy Corporation, dan menyasarkan untuk membantu isi rumah berpendapatan rendah meningkatkan pendapatan mereka dengan membolehkan mereka mengambil bahagian dalam peluang pendapatan yang ditawarkan melalui saluran digital.

"Melalui aplikasi ini, kami dapat membantu pencari kerja muda yang mencari pekerjaan bukan eksekutif sama ada untuk pekerjaan sepenuh masa, sambilan atau penempatan latihan amali dengan mudah dari pelbagai industri seperti sektor permulaan dan teknologi, makanan dan minuman, perkhidmatan pelanggan, kecantikan dan penjagaan kesihatan, runcit, kewangan dan sebagainya melalui aplikasi itu," katanya.

Teh juga berkata selepas pelantikannya sebagai rakan kongsi kepada program eRezeki pada 15 Nov tahun lepas, syarikat telah melancarkan pelbagai kempen untuk mencapai kumpulan B40 di seluruh negara untuk menggalakkan mereka mendaftar dan mendapat padanan pekerjaan.

"Ini akan mewujudkan lebih banyak peluang pendapatan digital selain mengisi kekosongan yang ada dalam pelbagai industri," katanya.

Dalam tempoh beberapa bulan akan datang, Slingapp menyasarkan untuk memasukkan peluang pekerjaan di luar Lembah Klang termasuk Pulau Pinang dan Johor, dan berminat untuk berkembang ke negara-negara Asia Tenggara yang lain seperti Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu