85 mosques in Kuala Lumpur to have rice ATM machines [ 4h ago ]

Penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi satu usaha positif - Rina

Tarikh kemaskini: 12/02/2019
SEMENYIH, 12 Feb (Bernama) – Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun menyifatkan penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi, sebagai suatu usaha yang positif kerana ia menunjukkan keprihatinan kerajaan, terhadap perkembangan ekonomi semasa.

"Penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi ini bukanlah sesuatu yang baharu. Sebelum ini, kerajaan lama pun ada juga Majlis Tindakan Ekonomi.

"Ia sebenarnya untuk membantu kerajaan sedia ada, bagi mendapatkan pandangan daripada mereka yang kita fikir berkelayakan meningkatkan ekonomi negara. Ia juga menunjukkan kerajaan hari ini prihatin, dengan mengambil kira keadaan ekonomi semasa dan kos sara hidup yang tinggi," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Bazar Mara Semenyih, dekat sini hari ini.

Beliau mengulas kritikan penasihat khas media dan komunikasi kepada Perdana Menteri, Datuk A. Kadir Jasin yang menyifatkan penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi semalam mempunyai makna tersirat.

Semalam, kerajaan mengumumkan penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi yang akan bertindak meneliti, serta membuat keputusan berkaitan hal ehwal ekonomi dan kewangan serta kebajikan rakyat.

Majlis itu dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad yang terdiri daripada 16 ahli, merangkumi beberapa menteri Kabinet, tokoh-tokoh ekonomi serta pemimpin-pemimpin industri.

Terdahulu, Rina merasmikan kursus Seni Tangan Jahitan Kreatif Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), di Balai Raya Kampung Rinching Hilir dan membuat lawatan ke Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Jalan Sungai Lalang.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu