Unemployed man gets jail, whipping for snatching woman's mobile phone [ 5m ago ]

Pematuhan pelabelan ASEAN NCAP dikuatkuasa Mac 2020

Tarikh kemaskini: 12/02/2019
PUTRAJAYA, 12 Feb (Bernama) -- Syarikat automotif yang memasarkan kenderaan di Malaysia diwajibkan mematuhi Garis Panduan Pematuhan Pelabelan Program Penilaian Kereta Baharu ASEAN (ASEAN NCAP) bermula 1 Mac tahun hadapan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata penguatkuasaan garis panduan pelabelan yang dikeluarkan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) itu memberi manfaat kepada pengeluar serta pengguna terutama dari aspek peningkatan tahap keselamatan kenderaan.

Mereka yang menggunakan pelabelan palsu selain yang dikeluarkan MIROS selepas didaftarkan kelulusannya oleh Bahagian Standard Kepenggunaan KPDNHEP boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perihal Dagangan (APD) 2011, katanya.

“Sehingga tempoh itu, kementerian melalui Bahagian Standard Kepenggunaan akan menjalankan kempen kesedaran secara agresif bagi menyedarkan masyarakat tentang kewujudan sistem pelabelan mengikut rating berdasarkan tahap keselamatan yang dimiliki sesebuah kenderaan pengguna.

“Kita ingin membangkitkan kesedaran bahawa kenderaan yang mempunyai label ASEAN NCAP adalah lebih selamat untuk pengguna dengan sasaran utama kempen adalah kalangan penuntut universiti, persatuan pengguna, pelajar sekolah serta agensi keselamatan,” katanya.

Bercakap pada sidang media selepas melancarkan garis panduan itu di sini hari ini, Saifuddin berkata langkah itu memberi pilihan kepada pengguna untuk membeli kenderaan baharu yang lebih selamat manakala, pengeluar kenderaan pula saling bersaing menghasilkan produk yang memiliki ciri keselamatan terbaik bagi menarik minat pembeli.

Buat permulaan, pelabelan ASEAN NCAP dijalankan secara sukarela bermula 1 Mac ini di mana syarikat automotif digalak mempamerkan 'rating' mengikut bintang yang diberikan MIROS selepas ujian pelanggaran dilakukan, katanya.

Rating mengikut bintang itu diberikan bagi mewakili ciri keselamatan sesebuah kenderaan seperti tiga bintang untuk kenderaan yang memperoleh skor 50 hingga 65 peratus, empat bintang bagi skor 65-75 peratus dan lima bintang untuk skor 75 hingga 100 peratus, katanya.

Menurutnya, pelabelan ASEAN NCAP akan mengandungi maklumat mengenai spesifikasi kenderaan, kod respon pantas atau QR serta ciri-ciri keselamatan kenderaan lain mengikut piawaian tertentu yang hanya diberikan kepada kenderaan yang melalui proses pengujian dikendalikan MIROS.

"Selepas dimandatorikan, pengeluar atau wakil jualan yang tidak mendapat kelulusan ujian perlanggaran ASEAN NCAP dan melekatkan label yang tidak diluluskan pada kenderaan boleh diambil tindakan kerana telah melabelkan penyataan palsu yang boleh memperdayakan pengguna,” katanya.

Mengikut APD, orang persendirian serta syarikat yang disabitkan bersalah boleh didenda masing-masing RM100,000 dan RM250,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun kerana melabelkan penyataan palsu, katanya.

Beliau berkata kenderaan yang tidak melalui proses pengujian ASEAN NCAP hanya akan dilabelkan tanda sengkang pada maklumat kenderaan itu dengan wakil jualan tetap perlu menampalkan pelekat label itu pada cermin depan dan cermin sisi tanpa penarafan bintang dicatatkan.

"Langkah ini akan membantu pengguna membuat pilihan bijak sebelum membeli sesebuah kenderaan berpandukan label yang ditampal dan rating yang dipamerkan pada kenderaan itu," katanya.

-- BERNAMA




BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu