85 mosques in Kuala Lumpur to have rice ATM machines [ 4h ago ]

MTE inisiatif pulih ekonomi, bukan sebab kelemahan kerajaan PH - Muhyiddin Yassin

Tarikh kemaskini: 12/02/2019
SEMENYIH, 12 Feb (Bernama) -- Langkah menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi (MTE) adalah inisiatif bagi memulih dan mengukuhkan ekonomi dan tidak harus dilihat sebagai kelemahan kerajaan Pakatan Harapan (PH), kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"It's another inisiative, is not first time it (being) done (Ini inisiatif lain, bukan kali pertama ia dilakukan), maka pastinya ia akan melihat langkah-langkah penting memulihkan sektor ekonomi. Which is very-very important, so don’t underestimate that (Yang amat amat penting, jadi jangan ia dipandang rendah).

Saya bawa cadangan itu kerana saya tahu apa yang berlaku di bawah, masalah dari segi ekonomi.

Alhamdulillah (Perdana Menteri) Tun (Dr) Mahathir (Mohamad) terima dan semalam senarai anggota telah diumumkan. Jadi menyifatkan ia ditubuh sebab kelemahan Pakatan Harapan is not quite right (itu tidak tepat)," katanya kepada pemberita selepas melakukan Lawatan Kerja ke Batalion 4 Pasukan Gerakan Am Polis Diraja Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Tokoh Wartawan Negara Datuk A. Kadir Jasin bahawa tindakan Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan MTE semalam mempunyai makna yang tersirat.

Kadir dalam blognya berkata penubuhan majlis itu secara langsung mengakui bahawa jentera yang sedia ada, khususnya kabinet tidak memadai bagi menangani isu-isu mengenai ekonomi, kewangan dan kebajikan rakyat jelata.

Sementara itu, Muhyiddin berkata rakyat perlu memberi masa kepada majlis berkenaan untuk menangani isu ekonomi yang sedang berlaku.

"Bagilah peluang, saya pun tak boleh nak tahu pasal ini di bawah kepimpinan PM, ia dah diumum maknanya cepat cadangan ini diambil tindakan. Esok lusa pasti ada mesyuarat which area (ekonomi) yang nak diusahakan," katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya Muhyiddin berkata tanggungjawab beliau sebagai seorang daripada anggota kabinet dan pemimpin komponen PH adalah menjelaskan kekeliruan persepsi rakyat kepada PH ketika ini.

"Ada yang kata PH tak pertahankan itu ini, tak pertahan hak Melayu, Islam. Seolah-olah PH ini useless government.

Padahal ia tidak berlaku. Ada juga yang kata kita jangan sebut lagi, salahkan kerajaan terdahulu, tetapi hakikatnya sebahagian besar masalah yang dihadapi sekarang kita warisi daripada kerajaan dahulu, ini rakyat tak faham, jadi kita kena jelaskan," katanya.

Terdahulu, Muhyiddin melakukan lawatan kerja di Jabatan Penjara Malaysia di Kajang dan meluangkan masa sejam bertemu warga kerja di situ dan mendengar taklimat.

-- BERNAMA

.
.....

       Berita Utama Terdahulu