85 mosques in Kuala Lumpur to have rice ATM machines [ 4h ago ]

Pertandingan video 'CFM Animatch 2019' tawar hadiah wang tunai RM8,500

Tarikh kemaskini: 12/02/2019
https://www.facebook.com/consumer.forum.malaysia/.
KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) menawarkan hadiah wang tunai RM8,500 kepada pemenang dalam pertandingan 'CFM Animatch 2019´.

Menurut CFM dalam satu kenyataan hari ini, pertandingan itu diadakan bukan sahaja untuk mencari bakat-bakat kreatif dalam bidang animasi malah menjadikan animasi sebagai alat penyampai mesej-mesej CFM mengenai isu-isu yang dihadapi pengguna berkaitan masalah telekomunikasi dan multimedia.

"Pengguna juga akan lebih memahami keadaan sebenar mengenai isu-isu itu melalui rekaan animasi serta dapat menggalakkan amalan kawal selia kendiri," katanya.

Naib juara dalam pertandingan itu akan menerima hadiah wang tunai RM5,000, tempat ketiga RM3,000 manakala tujuh finalis yang lain akan menerima hadiah wang tunai RM500.

Pertandingan itu terbuka kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas dan terbuka kepada peserta amatur atau profesional dalam bidang animasi, penyertaan boleh dihantar secara individu atau berkumpulan (maksimum tiga peserta dalam sebuah kumpulan), katanya.

Peserta boleh menghantar secara dalam talian di http://www.consumerinfo.my/cfm-animatch-2019-calling-all-malaysias-animators.

"Peserta akan diberikan topik-topik mengenai isu-isu yang sering dihadapi oleh pengguna dengan penyedia perkhidmatan iaitu tentang perkhidmatan selular, jalur lebar dan kandungan haram.

"Peserta perlu melalui tiga peringkat sebelum layak mara ke peringkat akhir. CFM akan memilih 10 penyertaan sebagai finalis yang akan bersaing di peringkat akhir dengan 10 finalis berpeluang menyertai 'animasi boot camp' selama dua hari dijadual berlangsung pada 30 dan 31 Mac depan," kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, peserta finalis berpeluang mendapat tunjuk ajar daripada ahli pakar animasi antaranya Hassan Abd Muthalib yang digelar Bapa Animasi Malaysia, Mike Ismail (Pengarah Animasi 2D) dan Ayie Ibrahim (Pengarah Animasi Creatvtoon Studio), kata CFM.

Pemenang bagi 'CFM Animatch 2019' akan diumumkan pada 31 Mac, selepas semua finalis membentangkan video animasi rekaan mereka pada hari terakhir 'boot camp animasi'.

Maklumat lanjut mengenai pertandingan ini boleh diperoleh menerusi laman Facebook CFM di https://www.facebook.com/consumer.forum.malaysia/.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu