Tiga sindiket tumpas di Butterworth, dadah bernilai RM159,000 dirampas [ 3m ago ]

Sultan Abdullah pendiam, namun lasak dan aktif zaman persekolahan

Tarikh kemaskini: 12/01/2019
PEKAN, 12 Jan (Bernama) -- Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah semasa zaman persekolahannya merupakan seorang murid yang aktif dan lasak serta tidak pernah menjadikan kedudukannya sebagai seorang putera raja sebagai satu penghalang untuk bergaul dengan murid-murid lain.

Menurut rakan baik baginda Badaruddin Adnan, 60, Sultan Abdullah yang dikenali sebagai Tengku Alam di kalangan rakan-rakannya, bagaimanapun seorang yang sangat pendiam semasa menuntut dari darjah satu hingga empat di Sekolah Rendah Ahmad (kini dikenali SK Ahmad).

"Zaman kanak-kanak kami sama sahaja seperti orang lain, baginda sendiri tidak pernah membataskan dirinya dalam pergaulan sesama rakan sebaya. Cuma sifat baginda yang pendiam dan pemalu menyebabkan baginda cuma rapat dengan sebahagian rakan sahaja.

"Saya berada satu kelas dengan baginda daripada darjah satu sehingga darjah empat, sebelum baginda berpindah sekolah ke St.Thomas, Kuantan," katanya yang kini menetap di Kajang.

Menurutnya, banyak memori tercipta semasa beliau bersama rakan-rakan serta Tengku Abdullah bermain di perkarangan Istana Mangga Tunggal pada setiap petang.

Paling tidak dapat dilupakan ialah ketika Sultan Abdullah mendapat kecederaan ketika sedang bermain menyebabkan semua rakan-rakan baginda cabut lari kerana khuatir dimarahi Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah yang ketika itu menjadi Tengku Mahkota Pahang.

"Ketika itu Sultan Abdullah memanjat pokok rambutan sebab nak 'show-off' dekat kami. Baginda buat 'stunt' bergayut sangkut kaki pada dahan pokok dan lepas tangan (macam kelawar).

“Tiba-tiba kaki tuanku terlepas, dan terjatuh dari pokok sampai tulang siku baginda terkehel keluar.

"Kami apa lagi, lari lintang pukang balik rumah sebab takut ayahanda baginda marah. Sampai sekaranglah baginda masih 'bukak cerita' pasal kenangan tu...

“Mungkin sebab tak puas hati kami tinggal baginda seorang diri ketika itu," kongsinya sambil tertawa mengingati memori indah bersama baginda ketika kecil dahulu.

Selain itu katanya Sultan Abdullah juga tidak lokek untuk berkongsi ‘keistimewaan’ yang dimiliki oleh baginda dengan turut sama mengajak rakan-rakan menaiki kereta yang ketika itu hanya dimampu dimiliki oleh orang bangsawan.

"Baginda pergi ke sekolah menaiki kereta jenis Holden Kingswood, saya cuma naik beca...tapi saya rasa bertuah sebab dapat merasa naik kereta dengan Tengku Alam apabila baginda datang jemput saya ke rumah untuk bermain di perkarangan istana ayahanda baginda .

"Saya bersama empat hingga lima lagi rakan bermain sukan kegemaran kami iaitu bola sepak. Pada masa itu bakat baginda dalam bola sepak sudah dapat dilihat dan baginda memang hebat bermain," katanya.

Seorang lagi rakan sekelas baginda ketika di SK Ahmad, Allen Jeyarajasingam, 60, berkata, kenangan ketika dia ditempatkan satu kelas dengan Tengku Abdullah dari darjah satu hingga empat merupakan antara kenangan manisnya dengan seorang anak raja yang penuh dengan sifat mulia dan baik hati.

“Baginda seorang pelajar yang pandai, walaupun agak pendiam berbanding pelajar lain namun baginda seorang yang aktif dan mesra dengan guru serta rakan lain.

“Kami hanya tahu baginda anak raja sebab tuanku ada penjaga, pemandu sendiri..tetapi itu semua tidak menghalang kami berkawan. Ketika kanak-kanak jurang perbezaan status antara kami langsung tidak pernah dirasa,” katanya yang bertugas sebagai guru Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Sains Alam Shah di Kuala Lumpur.

Kehebatan baginda dalam pasukan bola sepak di pelbagai peringkat turut diakui seorang lagi rakan sekolah baginda yang turut berada dalam pasukan sama iaitu Abdul Razak Mohd A.Kadir, 60.

Bagi Ketua Pegawai Operasi di Pos Ar-Rahnu Sdn Bhd ini, baginda seorang pemain bola sepak yang amat berbakat sehingga terpilih bermain mewakili negeri Pahang.

“Baginda seorang yang komited ketika bermain bola sepak, minat dan bakat baginda diserlahkan dalam corak permainannya yang amat menarik.

“Ketika baginda menyandang jawatan sebagai Presiden FAM, kami selaku bekas rakan sekolah memang dapat rasa baginda sangat layak dan sesuai memegang amanah berkenaan apatah lagi sukan tersebut sememangnya sentiasa ‘hidup’ dalam diri baginda,” katanya.

-- BERNAMA




BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu