Pelan induk ECER 2.0 sasar pelaburan swasta baharu bernilai RM70 bilion [ 3m ago ]

Tengku Abdullah Sultan Pahang yang baharu

Tarikh kemaskini: 12/01/2019
PEKAN, 12 Jan (Bernama) -- Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dilantik sebagai Sultan Pahang keenam bagi menggantikan Sultan Ahmad Shah berkuatkuasa serta-merta.

Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah yang membuat pengumuman itu berkata, cadangan melantik Tengku Abdullah dibuat ekoran keadaan ayahanda Sultan Ahmad Shah yang kini berada dalam keadaan gering.

Baginda berkata cadangan untuk melantik Tengku Abdullah dikemukakan pada mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Pahang yang berlangsung di Kuala Lumpur semalam setelah perbincangan diadakan di kalangan kaum keluarga dan dipersetujui sebulat suara.

"Dalam keadaan sedih, dan dukacita saya dan keluarga menerima hakikat bahawa paduka ayahanda saya tidak lagi boleh memikul tugas dan tanggungjawab sebagai raja pemerintah

"Menyedari keadaan ini, saya dan keluarga terdekat telah bersependapat untuk mencadangkan kepada Jumaah Pangkuan negeri supaya paduka kekanda saya Tengku Abdullah untuk dilantik sebagai pengganti kepada ayahanda Sultan Pahang," katanya pada sidang media khas di Istana Abu Bakar di sini, hari ini.

Sidang media itu turut dihadiri ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Seri Salehuddin Ishak, Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Abdul Fahd Mu'adzam Sultan Ahmad Shah, kerabat dan barisan pentadbiran negeri.

Tengku Abdul Rahman berkata berikutan itu Jumaah Pangkuan Diraja Pahang pada mesyuarat itu telah bersetuju meluluskan pindaan pada Bahagian 1 Perkara 9 A Undang-undang Tubuh Negeri Pahang untuk memberi kuasa kepada Jumaah Pangkuan Diraja Pahang untuk menurunkan takhta dari raja kerana kegeringan besar dan berat selepas disiasat, berkuatkuasa 11 Jan.

Katanya semasa pindaan itu dilakukan Sultan Abdullah selaku salah seorang ahli majlis berkenaan meninggalkan mesyuarat berkenaan untuk perkara itu dibincangkan dan selepas keputusan diambil ia telah dipersembahkan kepada baginda Sultan Abdullah untuk dipersetujui.

"Saya yakin paduka kekanda saya akan menjadi seorang Sultan yang cekap, cergas dan seadil yang tidak kurang daripada ayahanda saya... ayahanda saya mendidik baginda dengan memberi segala latihan, tunjuk ajar dan bimbingan dan telah menjalankan tugas sebagai Pemangku Raja Pahang," katanya.

Selari dengan pelantikan itu, Sultan Abdullah bertitah supaya ayahanda baginda berdua, Sultan Ahmad Shah diisytiharkan sebagai gelaran Duli Yang Maha Mulia Ayahanda Sultan Ahmad Shah, katanya.

"... ini bersesuaian dengan keprihatinan dan sifat kebapaan ayahanda tuanku Ayahanda Sultan kepada rakyat Pahang keseluruhannya. Tiada apa yang lebih dekat dihatinya selain daripada rakyat," katanya.

Beliau berkata istiadat pemasyuran akan berlansung di Istana Abu Bakar pada 11 pagi, 15 Jan depan, manakala istiadat pertabalan akan diadakan dalam tempoh setahun.

Mengulas mengenai waris ganti kepada Sultan Pahang selepas ini, Tengku Abdul Rahman berkata perkara itu lebih sesuai dimaklumkan sendiri oleh Sultan Pahang memandangkan anakanda sulung Sultan Abdullah, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Tengku Abdullah sedang melanjut pelajaran di luar negara.

Sementara itu, semasa ditanya mengenai keadaan Ayahanda Sultan Ahmad Shah, Tengku Abdul Rahman meminta semua rakyat Pahang mendoakan kesihatan baginda bertambah baik dan dapat bersama-sama mereka istiadat pemasyhuran.

"Semalam, pakar-pakar telah memberi keterangan kepada Jumaah Pangkuan Diraja dan saya kalau boleh mahu biarkan ia setakat itu sahaja.

"Saya sekeluarga merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Pahang yang mendoakan kesejahteraan dan kesihatan Ayahanda Sultan. Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pakar-pakar dan pasukan kesihatan atas khidmat dan menjaga Ayahanda Sultan dengan cemerlang," katanya.

Bagaimanapun Tengku Abdul Rahman berkata mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Pahang semalam tidak membincangkan isu melantik Sultan Abdullah sebagai Yang Dipertuan Agong ke-16.

"Perbincangan Jumaah Pangkuan Diraja Pahang adalah perihal berkaitan negeri.., pelantikan (Yang Dipertuan Agong) adalah terletak di bawah Majlis Raja-raja," katanya.



-- BERNAMA






BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu